LAHAD DATU: Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) yang dikesan beroperasi terlalu hampir dengan daratan di perairan Kunak, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu operasi penguatkuasaan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata bot berkenaan ditahan kira-kira jam 11.50 pagi di kedudukan 0.6 batu nautika timur Madai, Kunak, menerusi Op Pluto Timur 2/2025 dan Op Tiris 3.0.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong warga tempatan berusia 38 tahun bersama tiga kru lelaki berumur antara 29 hingga 41 tahun berada di atas bot berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan pada jarak kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dzulfikhar berkata, tindakan tegas akan terus diambil terhadap pengusaha bot nelayan yang degil dan beroperasi di zon larangan.
“Peraturan jarak ini penting bagi melindungi ekosistem marin dan memastikan sumber perikanan negara kekal mampan,” katanya.
Katanya, bot bersama kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim supaya mematuhi undang-undang laut dan segera menyalurkan maklumat jika mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.
“Maklumat boleh disalurkan melalui WhatsApp di talian 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA



