HomeUtamaTerlepas tuduhan rompak, askar didenda RM2,000 kerana menyebabkan kecederaan

Terlepas tuduhan rompak, askar didenda RM2,000 kerana menyebabkan kecederaan

Read Time:1 Minute, 26 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang anggota tentera terlepas daripada tuduhan melakukan rompakan, tetapi didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki.

Tertuduh, Amirul Mukminin Rosol, 31, juga berdepan empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Dalam keputusan di akhir kes pendakwaan, hakim Elsie Primus memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan rompakan dengan menyebabkan kecederaan.

Bagaimanapun, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Sebelum ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu menyatakan bahawa Amirul didakwa melakukan rompak terhadap Ali Farman sehingga menyebabkan kecederaan, pada 31 Januari 2024, jam 9 malam di kedai Chung Trading, Jalan Kibabaig, Penampang.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan pada Februari tahun lalu, dan pihak pendakwaan memanggil lima saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

Antara keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan ialah tiada bukti bahawa tertuduh mengambil apa-apa daripda mangsa dan mangsa cedera akibat ditumbuk di muka oleh tertuduh.

Semasa rayuan, peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya kesal atas perbuatannya dan berkemungkinan berdepan tindakan disiplin termasuk dibuang kerja.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim, bagaimanapun, memohon hukuman bersifat pengajaran dengan menegaskan bahawa mangsa telah mengalami kecederaan dan kepentingan awam perlu diambil kira supaya keganasan tidak dijadikan contoh dalam masyarakat.

Difahamkan tertuduh telah membayar denda.

Seskyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

RELATED ARTICLES
Utama

Miliki 32 video lucah, lelaki dipenjara 6 bulan dan didenda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular