HomeUtamaCalon SPM diingatkan agar jaga kesihatan

Calon SPM diingatkan agar jaga kesihatan

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU : Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya di negeri ini diingatkan agar sentiasa menjaga kesihatan diri bagi menghadapi musim peperiksaan yang bakal tiba.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, ini berikutan berlaku peningkatan kes influenza yang dilaporkan di seluruh negara.

Katanya, tahap kesihatan pelajar amat penting bagi memastikan kelancaran peperiksaan serta mengelakkan risiko jangkitan dalam kalangan warga sekolah.

“Kita menyeru semua pelajar khususnya calon SPM agar peka terhadap kesihatan masing-masing.

“Jika mengalami simptom seperti demam, batuk atau selesema, segera dapatkan rawatan dan elakkan hadir ke sekolah bagi mengelak penularan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac di sini pada Sabtu.

Arif berkata, pihak sekolah juga digalakkan bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah untuk meningkatkan pemantauan terhadap kes influenza dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

Selain itu katanya, ibu bapa turut diingatkan agat memastikan anak-anak mereka mendapat rehat mencukupi, makan makanan berkhasiat serta tidak terdedah kepada individu yang tidak sihat menjelang tempoh peperiksaan.

“Sokongan dan pemantauan ibu bapa amat penting. Kesihatan yang baik akan membantu pelajar kekal fokus dan tenang ketika menjawab soalan,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, ketika berucap, Arif berkata, majlis apresiasi yang diadakan itu merupakan titik tolak permulaan perjalanan yang bakal diterokai oleh para murid.

“Saya menyeru kepada semua murid SMK SANZAC yang diraikan pada hari ini agar mengamalkan sikap positif dan mempunyai tekad yang padu untuk berjaya dengan cemerlang.

“Adalah menjadi harapan saya, dan harapan kita semua di sini, warga sekolah akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk memikul tanggungjawab secara kolektif dan komited dalam usaha memartabatkan bangsa ke peringkat antarabangsa.

“Syabas dan tahniah kepada pihak sekolah kerana telah bekerja keras dalam memikul tanggungjawab serta komited dalam menyumbang tenaga dan masa demi melahirkan modal insan untuk pembangunan negara,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Krismas dirai meriah, rumah terbuka perkukuh keharmonian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular