TAMBUNAN : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mengambil tindakan segera mengalihkan operasi pembelajaran Sekolah Agama Negeri (SAN) Tambunan yang musnah dalam kebakaran ke bangunan tiga tingkat berhampiran sekolah berkenaan.
Pengarah JHEAINS Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, bangunan tiga tingkat itu sebelum ini digunakan oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Tambunan dan turut berfungsi asrama pelajar.

Katanya, bangunan itu akan digunakan sebagai bilik darjah sementara bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan dengan selamat dan teratur.
“Saya telah arahkan mereka untuk menggunakan bangunan ini sebagai bilik darjah kerana keadaannya masih kukuh dan sesuai digunakan.
“Bangunan ini sebelum ini hanya menempatkan asrama,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini pada Isnin.
Jumain berkata, sebagai langkah keselamatan dan persediaan, JHEAINS telah memberi cuti selama seminggu kepada pelajar bagi memberi ruang kepada pihak sekolah dan agensi berkaitan melakukan kerja-kerja kemasan bilik darjah, penyusunan semula asrama dan pemantauan keselamatan bangunan.
Katanya, bangunan yang terbakar itu difahamkan telah berusia lebih 50 tahun, dan pihak JHEAINS sedang menilai tahap keselamatannya sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat berhubung status struktur tersebut.

Semalam,tiga blok bangunan di sebuah sekolah agama di sini, musnah dalam satu kebakaran membabitkan dua blok kelas dan satu kuarters guru.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, dua bangunan kelas termasuk bilik guru jenis tidak kekal terbakar 100 peratus, manakala kuarters guru jenis kekal terbakar sebanyak 50 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Penolong Penguasa Bomba Mitchell Francis George berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.23 petang, sepasukan 18 anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran dan empat pancutan secara ofensif serta dua aliran salur bantu mula menggunakan teknik defensif bagi mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran.
“Sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini. – SABAH MEDIA / FOTO FB JUMAIN ABDUL GHANI



