oleh Wan Azrain Adnan
Dalam Belanjawan Malaysia 2026 yang dibentangkan baru-baru ini, Kerajaan Malaysia menunjukkan tekad untuk membina Negara Sihat Paru-Paru dengan langkah-langkah yang jelas terhadap rokok. Namun, pendekatan terhadap rokok elektronik atau vape masih samar, mengundang pelbagai persoalan.
Di bawah Belanjawan Malaysia 2026, kadar duti eksais ke atas rokok telah dinaikkan sebanyak 2 sen setiap batang rokok, bermula 1 November 2025. Manakala, bagi cigars, cheroots dan cigarillos naik RM 40 sekilogram, dan produk tembakau dipanaskan (heated tobacco) naik RM 20 sekilogram kandungan tembakau. Pengecualian duti import dan cukai jualan juga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027 bagi produk terapi gantian nikotin, termasuk nicotine mist dan nicotine lozenges.
Walaupun langkah-langkah ini diambil untuk mengurangkan jumlah perokok di Malaysia, tiada sebarang kenaikkan cukai berkaitan vape yang diumumkan. Ini mengejutkan ramai pihak, terutamanya memandangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengemukakan cadangan untuk menaikkan cukai cecair nikotin vape sebanyak 10 kali ganda, dari RM 0.40 kepada RM 4.00 per mililiter (ml) nikotin.
Isu penggunaan vape semakin menarik perhatian ramai, terutamanya dengan peningkatan jumlah pengguna vape, terutamanya di kalangan orang muda. Menurut laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS): Adolescent Health Survey (AHS) 2022, peratusan pengguna vape di kalangan pelajar sekolah telah meningkat 5.1% dalam tempoh masa 5 tahun, dari 9.8% (2017) kepada 14.9% (2022).
Pada bulan Julai 2025, Sultan Pahang juga menzahirkan kebimbangan terhadap budaya menghisap vape yang menular di kalangan remaja. Baginda menegaskan bahawa vape bukan sahaja menjejaskan kesihatan, tetapi juga menjadi langkah awal golongan muda terjebak dadah. Justeru itu, Baginda menggesa agar vape diharamkan segera di seluruh negara.
Dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk pihak dalam industri vape, Kerajaan Malaysia tidak boleh mengambil masa yang terlalu lama untuk melaksanakan pengharaman vape sepenuhnya. Pengharaman ini seiring dengan tindakan 7 negeri yang telah mengharamkan penjualan produk rokok elektronik, serta banyak negara di seluruh dunia yang sudah mengharamkan vape.
Sementara itu, Kerajaan Malaysia perlu melipat-gandakan usaha bagi menangani isu rokok seludup haram. Dengan kenaikkan cukai rokok terkini, ramai perokok akan mencari alternatif yang lebih murah. Isu rokok seludup haram ini bukan sahaja merencatkan usaha kerajaan ke arah Negara Sihat Paru-Paru, tetapi juga menjejaskan keselamatan negara dan menyebabkan kerugian besar kepada kewangan negara.
Dalam menghadapi cabaran ini, Kerajaan Malaysia perlu bertindak tegas dan konsisten dalam menangani isu vape dan rokok seludup haram. Ini adalah langkah penting untuk memastikan kesihatan rakyat terjaga dan negara terus maju ke arah Negara Sihat Paru-Paru.



