PRN SABAH
HomeUtamaSabah pacu kepimpinan hijau dengan Enakmen Perubahan Iklim 2025

Sabah pacu kepimpinan hijau dengan Enakmen Perubahan Iklim 2025

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU :  Komitmen Sabah terhadap kelestarian alam sekitar kini melangkah ke fasa baharu dengan penggubalan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025, yang menjadi tonggak utama dalam usaha negeri ini menuju masa depan hijau dan mampan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, undang-undang baharu itu bukan sekadar dokumen dasar, tetapi satu pelan tindakan menyeluruh yang akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai peneraju inisiatif perubahan iklim di rantau ini.

Menurut beliau, enakmen bersejarah itu menubuhkan Majlis Tindakan Iklim Sabah sebagai badan pembuat keputusan tertinggi bagi memastikan hak karbon kekal milik negeri, selain menubuhkan Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim untuk menjejak projek karbon dengan telus dan berkesan.

“Lebih penting lagi, enakmen ini menegaskan perlindungan terhadap hak pemilik tanah adat dan masyarakat peribumi. Semua projek karbon di tanah adat mesti dilaksanakan berdasarkan rundingan, rasa hormat, dan manfaat bersama.

“Inilah keadilan iklim sebenar — apabila keadilan sosial, keterangkuman, dan kelestarian bergerak seiring,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Jantung Hijau Borneo: Memperkukuh Ketahanan Iklim, Pemuliharaan dan Mata Pencarian Lestari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah  (SICC) di sini pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norlijah Danin.

Hajiji turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah meminda beberapa undang-undang penting, termasuk Ordinan Tanah Sabah, bagi mengiktiraf penyimpanan karbon dan mengarusperdanakan tindakan iklim dalam sistem tadbir urus negeri.

“Ya, cabaran tetap ada — daripada memperkukuh institusi dan penguatkuasaan hingga kepada mendapatkan pembiayaan. Namun dengan kemahuan politik yang kuat, kerjasama komuniti, dan tadbir urus yang baik, tiada apa yang mustahil.

“Bersama-sama, kita boleh mengubah cita-cita menjadi tindakan, dan tindakan menjadi perubahan berkekalan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan komitmen Sabah terhadap inisiatif Jantung Borneo (Heart of Borneo – HoB) kekal kukuh dan tidak berbelah bahagi.

“Sehingga kini, lebih 27 peratus tanah negeri atau kira-kira dua juta hektar telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA). Tahun ini, kita akan melangkah lebih jauh dengan mewartakan tambahan tiga peratus lagi di bawah Seksyen 5A Enakmen Hutan 1968.

“Langkah ini membawa kita lebih hampir kepada sasaran 30 peratus TPA, satu pencapaian yang mencerminkan tekad Sabah untuk memastikan hutan yang kaya biodiversiti dan nilai karbon kekal sebagai warisan semula jadi untuk generasi akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular