PRN SABAH
HomeUtamaHina Mahkamah: Mahkamah benarkan permohonan AG terhadap Shafie, Mona Din

Hina Mahkamah: Mahkamah benarkan permohonan AG terhadap Shafie, Mona Din

Read Time:2 Minute, 49 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini membenarkan permohonan untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pempengaruh Che Muna Din berhubung kenyataan mereka mengenai kes Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara (AG) membuat permohonan kebenaran (leave application) secara Ex-Parte untuk Perintah Pengkomitan di bawah Aturan 52 Kaedah 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan kebenaran itu selepas mendengar hujah daripada Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalan dan Nadia Mohd Izhar.

Dokumen kausa (cause papers) akan diserahkan kepada Shafie, 68, dan Che Muna, 59, yang juga dikenali sebagai Mona Din, dalam tempoh dua minggu, dan koroner akan menetapkan tarikh pendengaran selepas itu.

Dalam permohonan ex-parte mereka, Mustaffa menyatakan bahawa Notis Tunjuk Sebab telah diserahkan kepada Shafie pada 23 September, manakala kepada Mona Din pada 10 September.

Mustaffa berkata Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan, telah menjawab notis tunjuk sebab tersebut melalui sepucuk surat daripada peguamnya, Tetuan Tommy Thomas, bertarikh 29 September.

“Walaupun responden telah memberikan surat jawapan berkenaan dan tidak menafikan membuat kenyataan seperti yang terkandung dalam hantaran tersebut, beliau gagal memberikan penjelasan memuaskan terhadap Notis Tunjuk Sebab di bawah Kaedah 52 Peraturan 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang telah diserahkan kepadanya,” kata Mustaffa.

Mustaffa berkata, Shafie telah membuat kenyataan yang menjurus kepada penghinaan mahkamah melalui hantaran di laman media sosial Facebook atas nama “Shafie Apdal”  pada tarikh 20 September 2025 di majlis “Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan”. 

“Kenyataan dan ucapan yang dibuat dalam hantaran berkenaan oleh responden terjumlah kepada penghinaan Mahkamah berkait prosiding Inkues di Mahkamah,” katanya.

Tambahnya, kenyataan Shafie juga sama ada secara langsung atau tidak langsung, terjumlah kepada suatu bentuk pengaruh yang tidak wajar kepada Koroner yang sedang mengendalikan prosiding Inkues tersebut dalam menentukan sebab kematian serta membuat dapatan dan keputusan (verdict) di akhir prosiding Inkues berkenaan. 

“Perkataan-perkataan yang diucapkan oleh Responden dalam majlis tersebut yang telah disiarkan melalui hantaran berkenaan, secara keseluruhannya juga bertujuan mempengaruhi pendapat awam tentang integriti prosiding Inkues yang sedang berlangsung di Mahkamah.

“Perkataan-perkataan yang diucapkan oleh Responden dalam majlis tersebut yang telah disiarkan melalui hantaran berkenaan, secara keseluruhannya mengandungi risiko nyata, yang boleh menggugat keyakinan orang awam terhadap pentadbiran keadilan serta terjumlah kepada gangguan kepada pentadbiran keadilan,” katanya.

Sementara itu, Mona Din telah menjawab melalui akuan berkanun bertarikh 19 September dan menyatakan permohonan maafnya. Namun begitu, tindakan itu tidak membebaskannya daripada perbuatan menghina mahkamah yang didakwa dilakukan, dan beliau didakwa gagal memberikan jawapan memuaskan terhadap Notis Tunjuk Sebab di bawah Kaedah 52 Peraturan 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

“Kami berhujah bahawa pada 4 September, dalam satu hantaran media sosial yang diterbitkan di laman media sosial Facebook menggunakan nama ‘Mona Din’, responden telah menyiarkan kenyataan yang berbentuk penghinaan Mahkamah berkait prosiding Inkues,” katanya.

Menurut Mustaffa di dalam hantaran tersebut, Mona Din antara lain telah mempertikaikan keterangan saksi Pakar Patologi Forensik di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah iaitu Dr Jessie Hiu yang merupakan saksi pertama yang dipanggil semasa prosiding Inkues tersebut.

“Perkataan-perkataan yang diterbitkan oleh responden dalam hantaran tersebut secara keseluruhannya juga bertujuan mempengaruhi pendapat awam tentang integriti prosiding Inkues yang sedang berlangsung,” katanya.

Zara, pelajar Tingkatan Satu, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai di asramanya dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Inkues bagi menyiasat kematiannya bermula pada 3 September dan masih diteruskan. –SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Projek tebatan banjir Tenom diteruskan – Jamawi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular