PRN SABAH
HomeUtamaFokus usaha bentuk pelajar supaya jadi insan yang baik - Jauteh

Fokus usaha bentuk pelajar supaya jadi insan yang baik – Jauteh

Read Time:2 Minute, 30 Second

RANAU: Tindakan menguatkuasakan undang-undang keatas pelajar merupakan suatu bentuk pelanggaran dari segi psikologi dan mental terhadap para pelajar sekolah itu sendiri, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.

Sebaliknya, katanya, fokus perlu ditumpukan kepada usaha dalam membentuk para pelajar supaya mereka menjadi insan yang baik, justeru tidak terlibat dalam kegiatan yang memudaratkan.

“Dalam hal ini, kita meminta ibu bapa, yang mempunyai lebih masa banyak bersama-sama anak-anak mereka, untuk mainkan peranan yang penting dalam pembentukan ini,” katanya.

Menurut beliau, peranan pihak polis dalam hal mengawal para pelajar daripada terlibat dengan jenayah tidak begitu banyak memandangkan tempoh pemantauan oleh pihak polis melalui Pegawai Perhubungan Sekolah tidaklah begitu panjang.

“Apa yang kita mampu buat adalah memberikan kesedaran melalui ceramah-ceramah, dan sebaiknya peranan mengawal para pelajar daripada terlibat dengan jenayah itu dikongsi bersama oleh semua pihak,” katanya.

Tambahnya, Kehadiran pihak polis yang kerap ke sesuatau sekolah itu juga biasanya akan menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap sekolah berkenaan yang akan menganggap sekolah itu adalah sekolah yang bermasalah.

Jauteh berkata demikian semasa Program Town Hall Discussion Peringkat Kontinjen Negeri Sabah 2025 yang diadakan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ranau pada Jumaat.

Dalam program itu, beliau bersama dua lagi ahli panel iaitu Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting dan Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau, Ismail Badri, membicarakan forum berkaitan tema ‘Pelajar dan Disiplin, di mana Silapnya’.

Dalam sidang media selepas forum itu, Jauteh berkata, program yang diadakan bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah itu adalah lanjutan daripada Mesyuarat Permuafakatan yang diadakan sebelum ini sebagai langkah susulan.

“Dalam program ini kita bersama-sama dengan 500 orang ibu bapa, guru-guru dan juga wakil pelbagai jabatan lain untuk sama-sama menjayakan program ini.

“Menerusi program yang diadakan ini, reaksi dari masyarakat, khususnya ibu bapa amat-amatlah menggalakkan melihat kepada jumlah kehadiran yang ramai memenuhi dewan dan kita difahamkan ruangan pada kali ini pun tidak mencukupi,” katanya.

Tambah beliau, respon dari semua yang hadir ke program ini begitu positif sekali terutama sekali berkaitan dengan cara mereka melihat dan mendengar apa yang para panel sampaikan melalui forum yang diadakan.

“Kita dapati program ini amat baik berdasarkan respon daripada masyarakat dan kita akan terus adakan program seumpama ini pada masa akan datang di daerah-daerah lain dengan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Insya-Allah, kita berharap menerusi platform seumpama ini ia akan meningkatkan lagi kesedaran ibu bapa, khususnya dalam bersama-sama menangani masalah disiplin segelintir pelajar yang ada di negeri kita.

“Selain itu, kita juga mengharapkan bahawa dengan penyertaan ibu bapa ini dalam sistem pendidikan itu sendiri, hubungan yang lebih rapat akan dapat diwujudkan untuk menangani berbagai-bagai isu yang kadang-kadang pandangan ibu bapa tidak sehaluan dengan pihak PDRM dan juga Jabatan Pendidikan,” jelas beliau.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rani Alias, Ketua Polis Daerah Ranau, Supt Musalin Mahmud, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggang, Pegwai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Mohd Kahar dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda.

RELATED ARTICLES
Utama

PM zahir takziah atas pemergian Bung Moktar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular