Oleh Sitti Nor Azizah Talata
KALABAKAN: Pembinaan Tamu Desa di Kampung Pasir Putih, Blok C di sini menjadi pemangkin baharu kepada aktiviti ekonomi luar bandar dan usaha memperkasakan usahawan desa melalui penyediaan ruang niaga yang lebih kondusif serta teratur.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Surady Bandy berkata, inisiatif itu merupakan antara program Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi menyediakan platform kepada usahawan desa dan petani tempatan memasarkan hasil serta produk mereka dengan lebih sistematik.
“Tapak ini adalah antara usaha untuk memperkasa usahawan desa. Di Sabah, banyak tamu desa diwujudkan bagi membantu usahawan luar bandar menjalankan perniagaan dan aktiviti ekonomi.
“Alhamdulillah, di Parlimen Kalabakan kita telah mengenal pasti dua lokasi iaitu satu di Pasir Putih ini dan satu lagi sedang diteliti,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Tapak Tamu Desa Kampung Pasir Putih di sini, semalam.

Menurut Andi Surady, pembinaan tapak tamu ini turut mengambil kira aspek kebersihan, kemudahan asas dan keselesaan peniaga serta pengunjung dengan penyediaan surau, tandas dan pejabat pengurusan.
“Masalah yang sering dihadapi peniaga di tamu-tamu lama ialah infrastruktur yang tidak teratur dan tempat yang kurang bersih. Melalui inisiatif KUSKOP, kemudahan seperti ini dinaik taraf agar lebih menarik dan selesa sekali gus meningkatkan imej kawasan luar bandar,” ujarnya.
Katanya, tapak tamu seluas lima ekar itu dibangunkan secara berperingkat dan mampu menampung sekitar 50 peniaga, melibatkan 20 tapak berbumbung dan 30 tapak terbuka.
Bagi menggalakkan penyertaan, katanya lagi, UPPM DUN Tanjung Batu menawarkan tempoh dua bulan pertama sewa secara percuma kepada peniaga baharu.
“Kita tanggung kos permulaan mereka. Selepas dua bulan, jika pendapatan sudah stabil, barulah dikenakan kadar sewa yang berpatutan, kadar Sewa Rahmah berdasarkan kos penyelenggaraan,” jelasnya.
Beliau menambah, buat masa ini, operasi tamu dijalankan pada hujung minggu namun akan diperluas mengikut sambutan masyarakat.
Selain menjadi pusat jualan, Andi Surady berkata tapak itu juga boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti komuniti termasuk program keusahawanan bagi menarik lebih ramai pengunjung.
“Kita mahu elakkan kesesakan di bandar Tawau. Dengan adanya pusat ekonomi seperti ini, penduduk tidak perlu ke bandar semata-mata untuk berniaga atau membeli keperluan harian,” katanya lagi.
Tambahnya, permohonan untuk membangunkan lebih banyak tapak tamu desa sedang dikemukakan kepada KUSKOP dan pihak berkuasa tempatan berdasarkan kesesuaian tapak.
Setakat ini, katanya, Parlimen Kalabakan mempunyai tiga projek Tapak Tamu Desa dengan anggaran kos keseluruhan RM200,000, termasuk dua lagi yang masih dalam proses pelaksanaan.
“Projek di Kampung Pasir Putih ini merupakan projek perintis (pioneer project) di Parlimen Kalabakan. Kita berharap ia menjadi contoh dan model pembangunan ekonomi luar bandar yang boleh diperluaskan ke kawasan lain,” tambah beliau.
Penduduk dan peniaga yang berminat boleh menghubungi Pejabat UPPM DUN Tanjung Batu untuk permohonan penyertaan. – SABAH MEDIA



