PRN SABAH
HomeUtama904 kenderaan diperiksa dalam Operasi Khas Bersepadu JPJ Sabah

904 kenderaan diperiksa dalam Operasi Khas Bersepadu JPJ Sabah

Read Time:2 Minute, 15 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Sebanyak 904 kenderaan diperiksa dalam Operasi Khas Bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah malam Khamis bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta keselamatan pengguna.

Pengarah JPJ, Datuk Mohd Harris Ali, berkata operasi yang bermula dari jam 7.30 malam hingga 12 tengah malam itu dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Daripada jumlah kenderaan yang diperiksa, sebanyak 136 notis saman JPJ P22 telah dikeluarkan, tujuh saman kesalahan teknikal, manakala satu kenderaan disita dan satu lagi dikesan tiada perlindungan insurans.

“ PDRM mengeluarkan 18 saman, JIM mengambil tindakan terhadap tiga kesalahan, JAS terhadap lapan kesalahan, dan LPKP terhadap satu kesalahan, manakala JPN tidak mengeluarkan sebarang saman,” katanya dalam sidang media selepas mengetaui operasi tersebut di Jalan UMS-Indah Permai di sini pada malam Khamis.

Beliau berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan pengguna jalan raya sentiasa berada di tahap tertinggi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Harris berkata JPJ turut komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya melalui pelaksanaan penguatkuasaan Speed Limitation Device (SLD) terhadap kenderaan perdagangan yang bermula 1 Oktober 2025.

Bagi tempoh 1 hingga 27 Oktober 2025, JPJ Negeri Sabah telah memeriksa 5,993 kenderaan perdagangan dan daripada jumlah itu, 567 kenderaan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pelaksanaan SLD dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu Fasa 1 melibatkan pengesahan kefungsian SLD bermula 1 Oktober 2025, Fasa 2 pengaktifan SLD dalam Electronic Control Unit (ECU) bermula 1 Januari 2026, dan Fasa 3 pemasangan peranti SLD secara retrofit yang mendapat pengesahan JPJ bermula 1 Julai 2026.

Beliau berkata, inisiatif ini merupakan langkah proaktif bagi menangani peningkatan insiden kemalangan jalan raya membabitkan lori dan bas. Statistik menunjukkan sebahagian besar kemalangan maut di jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan yang bergerak melebihi had laju. Oleh itu, pematuhan terhadap penggunaan SLD amat penting bagi mengawal kelajuan serta memastikan pemandu mematuhi had yang dibenarkan.

JPJ akan terus bekerjasama dengan pihak industri dan pengusaha logistik bagi memastikan pelaksanaan SLD dijalankan secara menyeluruh dan berkesan ke arah mencapai sasaran sifar kemalangan maut di Malaysia.

Sementara itu, Mohd Harris berkata Operasi Khas Perang Lebih Muatan yang dilancarkan sejak 14 Oktober 2025 turut diperhebat bagi membanteras kesalahan membawa muatan berlebihan oleh kenderaan perdagangan.

Sehingga kini, sebanyak 3,045 kenderaan perdagangan telah diperiksa, dengan 374 kenderaan diimbang dan 428 notis dikeluarkan. Daripada jumlah itu, 383 kes melibatkan kompaun, manakala 45 kes lagi dibawa ke mahkamah.

Beliau menegaskan JPJ akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di seluruh Sabah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan kerosakan infrastruktur akibat kenderaan membawa muatan berlebihan.

RELATED ARTICLES
Utama

SEDCO dan anak syarikat perlu lebih berdaya saing, tingkatkan dividen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular