Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mengaku bersalah merogol adik kandungnya akan mengetahui hukumannya pada 4 November 2025.
Hakim Zaini Fishir @ Fisal menangguhkan hukuman atas permintaan pihak pendakwaan sementara menunggu fakta kes.
Tertuduh, 23 tahun telah merogol mangsa yang pada ketika itu berusia 15 tahun di dalam sebuah rumah pekerja di daerah Putatan, pada Disember 2021, sekitar jam 8 malam.
Dia didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun, dan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon penangguhan singkat pada minggu depan untuk fakta kes dan hukuman.
Sementara menunggu tarikh tersebut, Fazriel membantah sebarang jaminan terhadap tertuduh, dengan alasan mangsa adalah adik kandung dan mereka tinggal di rumah yang sama.
“Kejadian rogol itu didakwa berlaku di rumah tersebut, dan terdapat kemungkinan tertuduh akan mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” katanya.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh untuk terus ditahan sehingga kes selesai.



