HomeEkonomiBekalan elektrik stabil: Langkah Kerajaan Sabah disambut baik pemain industri

Bekalan elektrik stabil: Langkah Kerajaan Sabah disambut baik pemain industri

Read Time:2 Minute, 9 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Pemain industri di Sabah menyambut baik hala tuju Kerajaan Negeri dalam memastikan bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi di seluruh negeri.

Langkah ini diambil melalui pelaksanaan pelan jangka panjang yang menumpukan kepada penjanaan tenaga mampan serta langkah jangka pendek yang lebih pragmatik.

Mereka percaya,  susulan keputusan kerajaan negeri untuk memberi kebenaran kepada pihak pengurusan kawasan perindustrian membina loji janakuasa sendiri atau Penyedia Tenaga Bebas atau Independent Power Producer (IPP), ia akan memastikan bekalan elektrik di Sabah mencukupi untuk menjana pertumbuhan kawasan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sdn Bhd., Datuk Lawrence G. Kimkuan, berkata taman perindustrian itu bakal melaksanakan projek penjanaan tenaga elektrik sendiri berkapasiti 300 megawatt (MW) bagi menjamin keperluan tenaga sektor industri tanpa menjejaskan agihan bekalan kepada rakyat.

Beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan langkah strategik bagi memastikan taman perindustrian mempunyai sumber tenaga yang stabil dan mampan.

“Permintaan tenaga meningkat seiring dengan pertumbuhan pesat industri serta kemasukan pelabur besar ke Sabah.

Justeru, KKIP perlu mengambil pendekatan jangka panjang dengan menambah kapasiti penjanaan sendiri,” katanya ketika ditemui Sabah Media baru-baru ini.

Lawrence menjelaskan bahawa projek itu akan dilaksanakan secara berfasa, dengan bermula dengan fasa pertama yang dijadual bermula pada Januari 2026 dan siap sepenuhnya pada Jun 2027.Kapasiti tenaga bagi fasa ini adalah 155MW. Manakala fasa kedua dengan tambahan 155MW akan dimulakan selepas fasa pertama siap sepenuhnya. Jumlah keseluruhan ini mencukupi untuk menampung kegunaan industri di kawasan KKIP sedia ada dan kawasan baharu yang akan dibangunkan di Kota Belud

Lawrence turut menegaskan bahawa inisiatif itu juga bagi menjawab kebimbangan masyarakat terhadap dakwaan kononnya kemasukan pelabur mega di KKIP menjejaskan bekalan elektrik kepada pengguna awam.

“Kami memandang serius perkara ini. Oleh itu, KKIP mengambil tanggungjawab untuk menjana tenaga sendiri agar tidak berlaku persaingan antara keperluan industri dan rakyat,” katanya.

Tambah beliau lagi, KKIP berhasrat menjadi taman perindustrian pertama di Sabah yang mampu menjana dan mengurus bekalan tenaga secara kendiri dengan kerjasama pemain tenaga tempatan.

“Kita mahu pastikan agihan tenaga negeri kekal seimbang. Ini bukan sekadar soal keperluan industri, tetapi juga tanggungjawab sosial terhadap rakyat Sabah,”

Dengan pelaksanaan projek tenaga itu, KKIP dijangka mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemacu utama pembangunan perindustrian negeri serta menjadi penyumbang penting kepada ekosistem pelaburan berdaya saing di Sabah.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Sabah (caretaker), Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerajaan negeri akan memberi kebenaran kepada pihak pengurusan kawasan perindustrian untuk membina loji janakuasa sendiri atau IPP.

“Pendekatan ini membolehkan kawasan perindustrian menjana tenaga sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity). Bekalan elektrik yang dijimatkan dapat disalurkan semula untuk kegunaan domestik,” jelasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Hisap vape dalam pesawat, anggota tentera didenda RM5,500

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular