Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Kerajaan telah memutuskan mewajibkan penggunaan aplikasi Mysejahtera di kawasan capaian internet yang luas.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peraturan ini berkuatkuasa serta merta dan akan dikuatkuasakan oleh semua agensi penguatkuasa.
“Kegagalan pematuhan peraturan ini boleh menyebabkan pemilik premis dikompaun”, tegasnya.
Katanya, namun pengecualian diberikan bagi kawasan yang tidak mempunyai capaian internet khususnya di kawasan kampung dan pedalaman.
Dalam pada itu, pemegang lesen dan pemilik premis diwajibkan menyediakan kemudahan QR code MySejahtera dan menyediakan buku pendaftaran kehadiran pelanggan.
Masidi juga turut menegaskan bahawa suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius serta tidak memakai pelitup muka adalah tidak dibenarkan memasuki premis.
“Pemilik premis hendaklah memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis dengan penjarakan fizikal satu meter serta menyediakan hand sanitizer atau tempat mencuci tangan.
“Manakala had bilangan pengunjung adalah 50% kapasiti ruang bagi Pusat Membeli Belah (Mall), Hypermarket, Supermarket, Mini Market, kedai runcit dan sebagainya”,jelasnya.