Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang ahli politik yang didakwa mencabul kehormatan seorang wanita empat tahun lalu, akan mengetahui nasibnya pada 14 November ini.
Mahkamah Majistret menetapkan tarikh tersebut bagi keputusan kes melibatkan Phillip Among, 55, yang digantung jawatannya sebagai Penyelaras Parlimen Putatan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada Jun 2021 susulan dakwaan berhubung kes gangguan seksual.
Phillip didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 18 tahun pada jam 11 malam, 17 April 2021 di ruang tamu Jesselton Capsule Inn, Asia City.
Pada June 10, 2021, Phillip mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang berlangsung di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, 10 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan, manakala pihak pembelaan menampilkan seorang saksi.
Selain itu, Phillip masih menunggu keputusan bagi empat pertuduhan mencabul seorang peserta Unduk Ngadau Negeri 2021.
Tarikh keputusan bagi kes-kes tersebut bagaimanapun belum ditetapkan, tetapi kes akan disebut semula pada 24 November untuk menyemak status ‘submission’. Tarikh keputusan akan ditetapkan selepas semua pihak menfailkan ‘submission’ mereka.
Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Phillip didakwa mencabul peserta berkenaan pada 19 Mei 2021 antara jam 2 petang dan 10 malam.
Semua kejadian itu didakwa dilakukan di dalam Studio Darvel Bay Borneo Holidays Sdn Bhd di Asia City; di dalam kereta yang sedang bergerak dari sebuah restoran menuju ke pejabat lama di pusat bandar; di tangga bersebelahan Ever Best Photo di Asia City; dan di dalam sebuah pejabat di Metro Town.
Semasa kejadian, Phillip merupakan ketua teknikal bagi pertandingan Unduk Ngadau peringkat negeri 2021.
Bagi kes itu, lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang dijalankan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.



