Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang disahkan bertanding di N.68 Apas mewakili Gabungan Rakyat Sabah merupakan calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menjadi figura utama dalam pertarungan enam penjuru di kawasan itu.
Selain Nizam, calon lain yang disahkan bertanding ialah Sarman Amat Simito (Warisan), Herman Amdas (PIS), Marsiah Omat (PPRS), Dr Elmiariezan Ardan (BN) dan Lim Ting Khai (PN).
Nizam, 59, yang sebelum ini memegang jawatan penting di peringkat negeri, dilihat sebagai calon yang paling mendapat perhatian pengundi di kawasan Apas.
Pakar politik tempatan mengakui beliau mempunyai peluang kuat untuk mengekalkan kerusi DUN berkenaan memandangkan penglibatan aktif beliau dalam pembangunan dan kebajikan rakyat di Apas.
Nizam menunjukkan konsistensi dan pengaruh kuat di kalangan pengundi Apas dengan mengekalkan kerusi DUN pada 2018 dan 2020.
Walaupun berpindah parti daripada UMNO ke Bersatu, beliau berjaya meningkatkan majoriti undi pada pilihan raya 2020, membuktikan sokongan pengundi lebih berfokus kepada kredibiliti dan perkhidmatan beliau daripada parti politik semata-mata.
Trend ini mencerminkan keyakinan pengundi terhadap kepimpinan dan hubungan rapat Nizam dengan masyarakat setempat.



