PRN SABAH
HomeUtamaUMS raih pengiktirafan global, 15 saintis tersenarai dua peratus teratas dunia

UMS raih pengiktirafan global, 15 saintis tersenarai dua peratus teratas dunia

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Seramai 15 saintis Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih pengiktirafan antarabangsa apabila tersenarai dalam kelompok dua peratus teratas Saintis Terbaik Dunia 2025.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata kejayaan itu adalah hasil usaha tanpa henti, tekad yang kukuh serta kesungguhan warga akademik berkongsi pengetahuan dan hasil penyelidikan melalui penerbitan berimpak tinggi.

“Pengiktirafan antarabangsa yang diterbitkan Universiti Stanford dengan kerjasama Elsevier berasaskan analitik sitasi merentas disiplin ini membuktikan penyelidikan UMS bukan sahaja dihormati komuniti ilmiah, malah mempunyai pengaruh global yang terukur.

“UMS juga mengekalkan penarafan lima bintang dalam Malaysia Research Assessment (MyRA) 2024, sekali gus menjadi penyumbang besar kepada perkembangan dan pembangunan universiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Penyelidikan UMS (APUMS) 2025, di sini.

Majlis itu disempurnakan oleh Canselor UMS merangkap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman yang hadir bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

Menurut Kasim, penganjuran anugerah itu bertujuan memberi penghargaan kepada penyelidik yang berjaya mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata, UMS turut memperkukuh jaringan global melalui beberapa kolaborasi antarabangsa seiring penekanan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terhadap penyelidikan boleh terjemah, TVET dan hubungan industri-komuniti.

“Selain menjalin kerjasama strategik dengan syarikat antarabangsa McDermott, UMS turut bekerjasama dengan Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia dan Research Institute for Humanity and Nature (RIHN) Jepun selaras dengan peranan UMS sebagai The Brain of Borneo.

“Kolaborasi ini menyokong perkongsian ilmu dan penyelidikan yang menepati keperluan industri serta menyumbang kepada pertumbuhan inklusif dan pembangunan berasaskan inovasi,” ujarnya.

Menurut Kasim, UMS juga melancarkan tiga syarikat pemula perintis di bawah Dasar Start-Up & Spin-Off (SUSO) bagi mempercepatkan penterjemahan dapatan makmal ke pasaran serta memupuk budaya keusahawanan berasaskan ilmu. 

“Melalui SUSO, pasukan penyelidik dibimbing dari aspek perlindungan harta intelek, pengesahan pasaran, pembangunan model perniagaan hinggalah pelaksanaan perintis. Ini memastikan penyelidikan UMS relevan dari sudut ilmiah dan komersial,” jelasnya.

Dalam majlis berkenaan, lebih 40 penyelidik menerima anugerah merangkumi pelbagai kategori, termasuk Anugerah Ikon MyRA, Anugerah Buku Terlaris dan Anugerah Jurnal Terbaik.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Rossita Shapawi turut menerima Anugerah Khas Tun Canselor yang disampaikan sendiri oleh Canselor UMS, Tun Musa Aman.

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular