Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Isu dakwaan “lesbian” yang dikaitkan dengan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir sebenarnya hanya persepsi dan gosip dalam kalangan pelajar, berdasarkan tanggapan mereka apabila melihat dua pelajar perempuan rapat.
Perkara itu didedahkan oleh guru Unit Bimbingan dan Kaunseling SMKA Tun Datu Mustapha, Miswati Lundu, 37, ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding inkues kematian Zara.
Menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali Mohd Fairuz Johari, saksi ke-48 itu berkata isu “lesbian” itu bermula dalam kalangan pelajar dan seorang pelajar telah membuat aduan mengenainya.
“Pada mulanya pelajar lain yang menimbulkan isu itu dan (nama pengadu disebut) juga terikut,’’ katanya.
Pegawai Pengendali: Bagaimana boleh timbul isu “lesbian” yang melibatkan Zara ni ya?
Saksi: Isu lesbian ini adalah cakap-cakap daripada pelajar-pelajar apabila melihat Zara ni selalu suka berkawan dengan kawan perempuan.
Pegawai Pengendali: Boleh cikgu jelaskan? Dalam asrama perempuan, memang biasa pelajar berkawan rapat. Jadi bagaimana isu ini boleh timbul?
Saksi: Itu persepsi pelajar-pelajar. Apabila melihat kawan perempuan ni dengan kawan perempuan rapat, mereka terus cakap ini mesti ada ‘something’. Ia persepsi sahaja, mereka tidak tahu keadaan sebenar.
Terdahulu, Miswati ketika membacakan kenyataannya saksinya berkata dia pernah berjumpa dengan Zara sebanyak dua kali dalam sesi kaunseling kelompok.
Sesi pertama diadakan pada 5 Mac 2025, melibatkan Zara dan seorang pelajar Tingkatan 1 yang membuat aduan.
Pelajar itu mengadu bahawa seorang lagi pelajar seolah-olah ‘lupa kawan’ selepas mula rapat dengan Zara. Zara pula mengatakan bahawa Zara hanya mahu berkawan dengan pelajar tersebut (yang didakwa lupa kawan) dan tidak ada hubungan lain seperti ‘lesbian’ yang dikatakan oleh pelajar lain.
“Setelah mendengar luahan dan penjelasan kedua-dua pelajar, saya telah memberikan kaunseling dan nasihat kepada mereka berkenaan pemahaman diri, pengurusan emosi dan teknik menyelesaikan konflik secara matang,” katanya.
Menjawab soalan tambahan, Miswati berkata pelajar yang dikatakan ‘lupa kawan’ dipanggil secara individu.
Menurutnya, pelajar yang dikatakan ‘lupa kawan’ itu juga menjelaskan bahawa hubungannya dengan Zara hanya kawan dan tiada apa-apa yang mencurigakan.
Miswati memberitahu mahkamah bahawa dia menasihati kedua-dua pelajar (pengadu dan pelajar yang dikatakan ‘lupa kawan’) untuk berkahwan secara ikhlas dan jika ada masalah cuba untuk selesaikan masalah itu dengan matang.
Sesi kaunseling kedua diadakan pada 14 Mac 2025, melibatkan Zara serta dua pelajar Tingkatan 1 yang merupakan rakan sebilik iaitu pelajar A dan (nama pelajar disebut).
Sesi itu dijalankan selepas Pelajar A mengadu bahawa rakan sebilik mereka cuba menganggu Zara secara seksual. Zara turut menyatakan bahawa kejadian itu disaksikan Pelajar A.
Hasil siasatan dan sesi kelompok mendapati pelajar terbabit sekadar bergurau dan hanya menghidu selimut Zara sambil mengatakan ‘Bau pepek’.
“Ketiga-tiga pelajar diberi peluang untuk memberi penjelasan masing-masing dan selepas mendengar penjelasan semua pelajar, saya telah memberi nasihat dan kaunseling kepada ketiga-tiga pelajar untuk tidak beranggapan negatif tanpa bukti yang jelas,” katanya sambil menambah satu ‘One Page Report’ bertarikh 14 Mac 2025 telah disediakan oleh Unit Disiplin dan laporan sesi kaunseling yang telah dijalankan.
Miswati juga memaklumkan bahawa sesi kaunseling kedua dijalankan susulan aduan daripada ibu Pelajar A.
Dalam rumusannya, berlaku salah faham, dan pelajar yang terbabit menjelaskan bahawa dia hanya bergurau dan tidak berniat melakukan apa-apa.
Miswati turut memberitahu bahawa beliau mengendalikan kira-kira 60 sesi kaunseling pada tahun 2025, termasuk lima pelajar yang kini didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak.
Beliau berkata sesi kaunseling bagi lima pelajar itu diadakan sebelum dan selepas insiden melibatkan Zara.
“Bagi Pelajar A, sebelum insiden, ia berkaitan gangguan seksual, ingin pindah dorm, kehilangan barang dan juga kehilangan duit.
“Bagi empat pelajar lain, kaunseling selepas kejadian berkaitan isu emosi akibat insiden tersebut,” kata Miswati, yang kini tidak lagi bertugas di sekolah berkenaan selepas dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Negeri.



