SANDAKAN : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa, menerima satu kejutan positif semasa kempennya di Kampung Luboh, pagi ini.
Kejutan itu hadir apabila Hazem didatangi oleh Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) Luboh, Hassan Kibing, dalam satu pertemuan tidak dirancang.
Pada pertemuan tersebut, Hassan Kibing dengan rasminya menyatakan hasrat untuk keluar daripada BN dan menyertai GRS.
Hazem menerima dengan baik keputusan Hassan untuk menyertai serta memberikan sokongan padu kepadanya.
Penyertaan Hassan ini dilihat sebagai petanda bahawa sokongan terhadap Hazem, yang merupakan calon nombor enam di Sungai Manila, semakin berkembang dan mendapat perhatian.
Ini bukanlah sokongan pertama yang diterima Hazem; sebelum ini beliau juga telah disertai oleh 50 ahli Warisan yang keluar daripada parti berkenaan untuk menyokong GRS.
Kampung Luboh, yang dihuni majoriti peneroka, mempunyai lebih 600 pengundi berdaftar. – SABAH MEDIA



