SANDAKAN: Keunikan calon Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Hazem Mubarak Tun Musa menggunakan frasa asas bahasa Cina ketika memulakan ucapan, sekali gus mendekatkan dirinya dengan komuniti Tionghua.
Ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersama Masyarakat Cina dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Batu 8 di sini, Hazem memulakan ucapan dengan bertanyakan khabar dalam bahasa Cina mendapat tepukan gemuruh kira-kira 100 komuniti Cina yang hadir.
Ketika ditemui, Hazem berkata dia tidak begitu fasih, namun berusaha memahami dan menggunakan beberapa frasa asas seperti ucapan salam, sapaan dan kata-kata penghargaan sebagai tanda hormat kepada masyarakat Tionghua yang hadir dalam program beliau.
“Saya bukanlah pandai sangat, tapi sedikit sebanyak saya faham.
“Saya cuba ucapkan ‘apa khabar’, ‘terima kasih’, dan beberapa perkataan lain.
“Saya gembira kerana ramai yang datang daripada masyarakat Tionghua. Kawasan Sungai Manila ramai komuniti Cina, sudah pasti saya sebagai pimpinan GRS mahu menyantuni masyarakat kaum Cina juga,” katanya.
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila itu berkata, Sabah adalah contoh terbaik perpaduan pelbagai etnik yang hidup dalam suasana aman dan harmoni.
Katanya, perpaduan dan keharmonian ini mesti dikekalkan supaya semua kaum merasa selesa dan dihormati.
“Pembangunan Sungai Manila hanya dapat dipacu dengan sokongan menyeluruh daripada semua komuniti.
“Kita perlukan semua sokongan tidak kira bangsa, tidak kira latar belakang. Yang penting kita bersatu membawa misi untuk memajukan Sungai Manila dan memastikan pembangunan yang lebih baik untuk semua,” katanya.



