Oleh: Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Seorang pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.68 Apas tampil menegur ucapan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh, yang sebelum ini menggesa rakyat Apas supaya melakukan perubahan dengan tidak lagi memilih wakil rakyat daripada keluarga yang sama.
Dalam satu kenyataan terbuka, pengundi berkenaan, Khairul Anwar Junus, menyatakan rasa tidak bersetuju dengan pendekatan Akmal yang didakwa menyentuh soal keturunan dan keluarga ketika mengkritik seakan-akan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Khairul, yang mengaku telah dua kali mengundi di DUN Apas berkata, kritikan berbentuk peribadi tidak seharusnya menjadi modal politik kerana keluarga Titingan memiliki rekod panjang dalam pembangunan masyarakat Tawau.
https://www.facebook.com/share/p/1A7oMMgiZt/?mibextid=wwXIfr
https://www.facebook.com/share/p/1A7oMMgiZt/?mibextid=wwXIfr
Menurutnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Titingan iaitu bapa kepada Nizam, merupakan tokoh penting yang menyatukan masyarakat Melayu di Tawau melalui Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT) selain memainkan peranan signifikan dalam perjuangan kemerdekaan Sabah.
Beliau juga menegaskan sumbangan besar dua tokoh lain keluarga tersebut, iaitu mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Bahrom Titingan, serta Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah yang menurutnya “sangat dihormati oleh orang Apas”.
Khairul turut mempertahankan rekod khidmat Nizam sebagai wakil rakyat, sambil menggambarkan beliau sebagai pemimpin yang bekerja keras dan jarang berehat demi kebajikan penduduk setempat.
“Keluarga Titingan hanya bertanding satu kerusi sahaja daripada 73 kerusi DUN Sabah. Tiada lobi, tiada permintaan kerusi tambahan. Jadi tidak wajar isu keturunan dijadikan modal menyerang,” tegasnya.
Menurut Khairul, kesinambungan kepimpinan keluarga tidak melanggar mana-mana undang-undang mahupun prinsip demokrasi, sebaliknya harus dinilai berdasarkan prestasi dan dasar.
Justeru beliau menyarankan agar Akmal menumpukan kritikan terhadap polisi dan pendekatan pentadbiran, bukannya keluarga calon.
“Saya kagumi cara kerja Dr. Akmal di Melaka. Namun dalam soal DUN Apas, saya perlu bersuara untuk mempertahankan pemimpin kami,” katanya.
Isu ini timbul susulan ucapan Akmal dalam satu ceramah kempen BN di Apas, di mana beliau menggesa penduduk “memberi peluang kepada calon baharu daripada rakyat biasa” dan menyatakan bahawa calon daripada keturunan tertentu “terlalu selesa dan mudah menang”.



