SANDAKAN: Kesinambungan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) penting untuk mengelak pembangunan negeri tergendala dan memastikan kestabilan politik yang dinikmati kini dapat dikekalkan, tegas Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata, sejarah membuktikan pertukaran kerajaan hanya akan melambatkan pelaksanaan rancangan pembangunan sedia ada, yang akhirnya merugikan rakyat.
“Sejarah telah mengajar kita apabila politik tidak stabil dan kerajaan bertukar, maka pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan. Akhirnya, yang menerima impaknya ialah rakyat,” katanya ketika merasmikan Program ‘Suara Rakyat, Telinga Pemimpin’ bersama calon GRS bagi DUN Sungai Sibuga, Datuk Amirshah Yaakub.
Mengakui masih terdapat masalah asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya yang perlu ditangani, Masiung menekankan GRS telah menyediakan perancangan komprehensif untuk menyelesaikannya.
“Keadaan sekarang bukanlah seteruk dulu. Kemudahan air dan elektrik mulai baik,” katanya.
Menggunakan analogi mudah, beliau menjelaskan sebuah kerajaan baharu ibarat kereta baharu yang perlu dipanaskan enjin dan tidak boleh terus dipandu laju. Kerajaan GRS sedia ada seperti kereta lama yang sudah sedia untuk meneruskan perjalanan.
“Kerajaan baharu mungkin mengambil masa sehingga tiga tahun hanya untuk menubuhkan pentadbiran, menyusun kakitangan, sedangkan GRS sudah mempunyai perancangan sedia ada yang boleh diteruskan serta-merta,” katanya.
Sementara itu, Masiung menzahirkan keyakinan bahawa Amirshah akan diberi mandat sebagai wakil rakyat oleh pengundi Sungai Sibuga.
Mengenai manifesto pilihan raya GRS, Masiung berharap jentera parti dapat menyampaikan maklumat tersebut kepada orang ramai bagi memastikan kelangsungan pembangunan Sabah.



