Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas berpotensi menyaksikan kelahiran sebuah bandar baharu sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus diberi kepercayaan rakyat pada pilihan raya kali ini.
Calon GRS merangkap Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata tapak untuk projek bandar baharu itu sudah dikenal pasti dan pihaknya kini dalam perancangan terperinci bersama agensi berkaitan.
Menurut beliau, projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi juga memberi kesan besar kepada pembangunan sosial, pendidikan dan ekonomi penduduk tempatan.
“Kawasan yang dipilih akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, membuka peluang pekerjaan, serta menyediakan kemudahan moden kepada masyarakat,” kata Nizam ketika menyantuni penjaja di Tamu Mingguan Taman Sawit Balung, semalam.

Beliau berkata, pembangunan bandar baharu itu akan melibatkan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi membina kompleks mini sukan untuk golongan muda.
Selain itu katanya, cadangan menubuhkan fakulti baharu di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjadikan bandar baharu itu pusat pendidikan dan latihan seiring potensi ekonomi tempatan.
“Tawau terkenal dengan sektor pertanian, perikanan dan agrokultur. Fakulti yang diwujudkan kelak akan menumpukan kepada bidang yang bersesuaian.
“Selain itu, cadangan menubuhkan fakulti pengajian Islam juga diambil kira, memandangkan majoriti penduduk di sini beragama Islam,” katanya.
Katanya, pembangunan bandar baharu ini turut merangkumi projek Perumahan Penjawat Rakyat (PPR) bagi menampung keperluan penduduk pesisir pantai, dengan anggaran antara 500 hingga 1,000 unit.
“Cadangan ini sudah dikemukakan ke peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan, dan kini menunggu kelulusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Ekonomi,” katanya.
Beliau menegaskan bandar baharu ini selari dengan pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang menumpukan pembangunan ekonomi biru, pelancongan, industri serta membuka peluang pekerjaan kepada belia tempatan.
Selain itu, Nizam mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas kelulusan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau ke standard antarabangsa, yang diyakini akan memberi limpahan ekonomi besar kepada penduduk melalui peningkatan penerbangan domestik dan antarabangsa.

Mengulas strategi kempen, beliau menegaskan pendekatan turun padang dan mendekati rakyat akan diteruskan setiap minggu, bukan sekadar ketika musim pilihan raya.
“Sejak pertama kali bertanding pada 2018, saya tidak pernah berhenti turun padang. Ini bukan sekadar kempen pilihan raya, tetapi amanah sebagai wakil rakyat untuk membantu dan berada dekat dengan rakyat,” ujarnya.
Nizam yakin rekod perkhidmatan konsisten, perancangan pembangunan bandar baharu, serta usaha meningkatkan ekonomi dan pendidikan di Tawau akan meyakinkan pengundi untuk terus memberi mandat kepada GRS pada 29 haribulan ini.
“Ini adalah peluang untuk membawa perubahan nyata, menjadikan DUN Apas lebih maju dan memberi manfaat kepada seluruh penduduk,” katanya.



