Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Pakatan Harapan (PH) Merotai hari ini melancarkan manifesto bertemakan ‘Demi Merotai Sejahtera’, dengan tumpuan utama kepada pembangunan pekan baharu Merotai, penyelesaian isu infrastruktur dan peningkatan taraf ekonomi rakyat, khususnya golongan belia.
Calon PH bagi DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi, berkata pembangunan Merotai perlu digerakkan secara terancang dan menyeluruh, dengan memberi keutamaan kepada aspek perumahan, ekonomi serta keperluan asas penduduk.
Menurutnya, cadangan pembinaan pekan baharu Merotai akan lebih mudah direalisasikan melalui kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak ladang di kawasan sekitar.
“Paling mudah ialah kita berbincang dengan pihak estet kerana kampung-kampung di Merotai dikelilingi ladang. Kawasan Gayathri ini GLC punya, jadi lebih cepat untuk kita rancang. Mereka pun ada pemaju sendiri,” katanya pada sidang media di kediamannya di Kampung Haji Mathair di sini, hari ini.

Ruji berkata, beliau sudah memulakan rundingan awal melibatkan isu akses jalan dan bekalan elektrik di Kampung Haji Mathair Laut yang tidak pernah menikmati talian elektrik sejak merdeka.
Mengulas lanjut mengenai pembangunan pekan baharu Metorai, Beliau menjelaskan perancangan jangka sederhana untuk membangunkan pekan baharu dengan melibatkan penyerahan atau pertukaran sebahagian tanah GLC, selain mencari penyelesaian terhadap bangunan di kawasan Merotai Point yang terjejas akibat isu tapak.
“Saya tidak boleh pergi terlalu detail, tetapi cara paling mudah ialah rundingan dengan GLC. Kita perlu fikir lima tahun ke depan, bukan hanya apa yang ada sekarang,” ujarnya.
Dengan pengalaman menguruskan projek pembangunan bermasalah sebelum ini, termasuk SMK Titingan dan SMK Tandek 2, beliau yakin mampu menggerakkan projek pekan baharu Merotai jika diberi mandat.
Dalam pada itu, Ruji turut memberi fokus kepada peningkatan taraf hidup penduduk melalui pematuhan gaji minimum serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Ada syarikat masih bayar gaji harian. Kalau pendapatan kurang RM1,700, itu sudah bercanggah dengan Akta Pekerjaan. Kita perlu engage dengan majikan untuk pastikan pekerja dibayar gaji minimum. Ini penting untuk belia kita,” tegasnya.
Selain itu, katanya pendekatan radikal diperlukan untuk menyelesaikan isu air, elektrik dan jalan raya yang berlarutan di Sabah.
“Kita tidak boleh guna pendekatan biasa. Kita perlukan Special Purpose Vehicle (SPV), Dana Infra untuk air, jalan dan elektrik, ditadbir secara profesional dan telus, sama seperti model pelaksanaan MRT dan ECRL,” katanya.
Cadangan itu termasuk menerbitkan sukuk melalui anak syarikat kerajaan untuk mempercepatkan pembinaan infrastruktur penting.
Mengulas kritikan berhubung sentimen “Sabah for Sabahan”, Ruji menegaskan bahawa kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan adalah kunci kemajuan negeri.
“Kalau kita mahu maju, Sabah for Malaysia. Sabah tetap ditadbir oleh orang Sabah, dan ramai anak Sabah berjaya di peringkat pusat. Peruntukan besar datang dari Kerajaan Malaysia, jadi kita mesti bekerja bersama, bukan berpecah,” katanya.
Ditanya mengenai spekulasi beliau sebagai calon Ketua Menteri, Ruji mengulangi pendirian bahawa perkara itu hanyalah khabar angin.
“Itu spekulasi. PH bertanding 12 kerusi sahaja. Fokus saya ialah dasar dan pelaksanaan, bukan jawatan,” katanya.
Beliau berkata pengalaman sebagai Ketua Setiausaha Kementerian sebelum ini membolehkannya memahami kedua-dua aspek penggubalan dasar dan pelaksanaan projek, dan bersedia menyumbang jika dipilih sebagai ADUN Merotai.



