MEMBAKUT: Ketua Umno Cawangan Kampung Brunei Ulu, Asni Jelani, bersama timbalannya Yunus Jelani serta Ketua Wanita Umno cawangan tersebut, mengumumkan keputusan keluar parti bersama lebih 50 ahli lain bagi menyatakan sokongan penuh kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Asni berkata, keputusan besar itu dibuat hari ini selepas menilai kepimpinan dan pencapaian calon GRS bagi DUN Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, yang dianggap membawa pembangunan berterusan ke kawasan tersebut.
Menurutnya, penghijrahan itu bukan tindakan terburu-buru, tetapi dibuat dengan penuh pertimbangan demi memastikan kesinambungan pembangunan di Membakut tidak terjejas.
“Kami sepakat keluar Umno dan memberikan sokongan kepada GRS kerana percaya kepada rekod kerja Arifin yang konsisten membangunkan kawasan ini,” katanya.
Yunus pula menegaskan bahawa GRS menawarkan kepimpinan lebih stabil, sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk bersama-sama memastikan projek pembangunan yang sedang berjalan dapat diteruskan.
“Demi masa depan Membakut, kami memilih menyokong Arifin. Kesinambungan ini penting untuk rakyat,” katanya.
Pengumuman melibatkan tiga pemimpin cawangan serta lebih 50 ahli itu dijangka memberi lonjakan besar kepada jentera GRS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.



