Oleh Silar Pinikit
NABAWAN: Pendekatan berterusan serta kehadiran calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) N. 46 Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, dalam pelbagai program kemasyarakatan terus memberikan kelebihan kepada beliau untuk memenangi hati pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah Ke-17.
Menurut Abdul Ghani, usaha mendekati rakyat bukan hanya dijalankan sepanjang tempoh berkempen, malah telah menjadi amalan beliau sejak lebih 30 tahun lalu sebelum menjadi wakil rakyat.
Sebagai penyandang kerusi DUN Nabawan, beliau menekankan bahawa rekod lima tahun khidmatnya membuktikan komitmen dalam menyantuni masyarakat dan menangani pelbagai isu tempatan.
“Saya telah berkhidmat kepada rakyat hampir 30 tahun. Dalam lima tahun kebelakangan ini, kami banyak membantu dan merintis penyelesaian bagi pelbagai masalah di kawasan ini. Rakyat rapat dengan saya dan kita telah melaksanakan banyak program,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis “Orou Kaluluran Nu Vuvuhan Dayung” (Hari Pertemuan Keturunan Dayung) di Kampung Murni A pada Sabtu.
Abdul Ghani juga merupakan anggota Keluarga Dayung.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, sepanjang tempoh kempen ini beliau turut memanfaatkan lagu ‘Kalawon Atulai’, ciptaan masyarakat Murut, sebagai medium menyampaikan mesej perpaduan dan mendorong generasi muda untuk mengundi.
PRU Sabah Ke-17 menunjukkan persaingan sengit di beberapa kerusi, termasuk DUN Nabawan yang mencatat peningkatan pengundi muda.



