Oleh Eviana Mazinal
KOTA BELUD: Rekod kerja konsisten yang ditonjolkan oleh calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk menjadi faktor utama semakin ramai penduduk tempatan memilih untuk menyertai parti tersebut.
Bagi sebahagian besar penduduk, gaya kepimpinan Datuk Arsad Bistari yang turun padang tanpa henti, walaupun di luar musim pilihan raya menjadi bukti keikhlasan beliau dalam berkhidmat kepada masyarakat.
Jaipin Yasap, 56, antara individu yang menyatakan sokongan terbuka selepas tujuh tahun bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Katanya, beliau amat terpikat dengan cara kerja Arsad yang dianggap sebagai pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat.
“Arsad mempamerkan trek rekod tugas yang sangat konsisten. Dia bukan sekadar hadir untuk menyantuni masyarakat, tetapi juga menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan tanpa memilih latar belakang kaum, agama atau perbezaan politik.
“Dia bukan bekerja hanya semasa musim kempen. Dari sebelum memegang jawatan ADUN lagi, saya sudah lihat kesungguhannya turun padang,” kata Jaipin.
Sementara itu, Juini Kampiyau, 40, seorang suri rumah dan bekas ahli PKR dari Kampung Bangkahak Sumsum, turut mengakui ketokohan Arsad terserlah sejak dahulu.
Katanya, walaupun ada bantuan daripada pihak lain, kesinambungan usaha itu tidak sekuat apa yang dibawa oleh calon GRS tersebut.
“Mungkin parti lain juga ada membantu, tetapi yang konsisten hanyalah Arsad. Setiap kali diperlukan, dia ada. Baik dari segi membaiki infrastruktur kampung, membawa pembangunan, malah meluangkan masa bersama rakyat tanpa menunggu musim berkempen,” katanya yang berharap Arsad terus menyandang kerusi DUN Tempasuk.
Bagi Rosmah Singkutung, 55, keputusan menyertai GRS dibuat selepas melihat sendiri kepimpinan Arsad yang tidak pernah bersikap pilih kasih dalam memberikan khidmat kepada rakyat.

“Kemajuan yang dibawa GRS sangat berbeza berbanding sebelum ini. Mereka layak diberi mandat sekali lagi supaya perancangan pembangunan yang sedang berjalan dapat diteruskan,” ujarnya.
Rosmah menambah bahawa antara sebab utama beliau memilih GRS adalah kerana parti tempatan itu dilihat lebih memahami perjuangan serta keperluan bumiputera Sabah.
Dengan semakin ramai penduduk menunjukkan sokongan, penyertaan masyarakat ke dalam GRS di Tempasuk terus meningkat — menandakan keyakinan rakyat terhadap calon yang bekerja secara konsisten dan dekat dengan mereka. – SABAH MEDIA



