PRN SABAH
HomeUtamaSOP khas SPR hadapi banjir menjelang hari pengundian

SOP khas SPR hadapi banjir menjelang hari pengundian

Read Time:1 Minute, 6 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai prosedur operasi khas (SOP) untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir atau bencana lain pada hari pengundian Sabtu ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia berdepan apa juga kemungkinan bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

“Kita akan merujuk kepada jawatankuasa bencana peringkat daerah dan negeri bagi sebarang panduan. Insya-Allah, kita bersedia memastikan proses pengundian berjalan lancar dalam apa jua keadaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui melakukan lawatan ke pusat pengundian awal P190 Tawau di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, hari ini.

Mengulas isu segelintir pengundi sebelum ini yang mengambil gambar kertas undi untuk tujuan tertentu, beliau menjelaskan bahawa SPR telah menetapkan kaedah khas.

“Pegawai di setiap saluran akan meminta pengundi meletakkan telefon di tempat disediakan sebelum masuk memangkah. Ini bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan seperti gambar kertas undi disebarkan kepada pihak tertentu,” tegasnya.

Setakat semalam, katanya, SPR menerima 472 aduan berkaitan kesalahan kecil sepanjang tempoh berkempen.

“Antaranya melibatkan bahan kempen, ceramah tanpa permit dan lain-lain kesalahan ringan. Tiada kesalahan besar setakat ini,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun memaklumkan bahawa tiada pecahan daerah bagi jumlah aduan tersebut buat masa ini.

Tambah beliau lagi, sebanyak 86 pasukan penguatkuasa SPR telah ditubuhkan di seluruh Sabah dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut prosedur ditetapkan.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Projek tebatan banjir Tenom diteruskan – Jamawi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular