Oleh Wan Azrain Adnan
Setiap 5 November, Malaysia menyambut Hari Integriti Nasional (HIN) sejak ia diisytiharkan pada tahun 2005 sebagai sebahagian usaha membudayakan integriti, memupuk nilai murni sejagat serta memperkukuh tadbir urus negara. Tahun ini, sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 mengangkat tema “Integriti Teras Kesejahteraan Negara” — satu tema yang tepat pada masanya, tetapi juga sarat dengan persoalan tentang sejauh mana integriti benar-benar telah meresap dalam sistem dan budaya masyarakat kita.
Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa sambutan HIN 2025 baru-baru ini wajar direnungi dengan penuh keinsafan. Selepas 21 tahun Pelan Integriti Nasional diperkenalkan, baginda menzahirkan kebimbangan tentang jurang besar antara cita-cita dan pelaksanaan. Rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan sumber terus menjadi barah yang belum menunjukkan tanda-tanda reda.
Lebih penting, baginda mengingatkan bahawa integriti tidak boleh dibina melalui slogan dan dokumen dasar semata-mata. Integriti mesti bermula dari rumah — disemai dalam institusi keluarga, disuburkan di sekolah, diperkukuh oleh masyarakat dan akhirnya diinspirasikan oleh kepimpinan yang boleh dicontohi. Tanpa rantaian ini, segala pelan besar hanya akan kekal sebagai retorik kosong.
Sejarah yang disentuh baginda tentang kejatuhan Melaka pada tahun 1511 membawa mesej yang jelas: tanpa integriti, kekuasaan menjadi rapuh; tanpa kejujuran, kemerdekaan boleh tergadai. Pengkhianatan dari dalam, akibat hilangnya nilai moral, boleh meruntuhkan sesebuah empayar — apatah lagi sebuah negara moden yang jauh lebih kompleks cabarannya.
Pelancaran Modul Integriti Keluarga (MIKe) oleh Sultan Nazrin wajar dilihat sebagai langkah strategik yang menyentuh akar umbi masalah. Berteraskan lapan nilai utama — Kasih, Empati, Luhur, Usaha, Amanah, Rasional, Gigih dan Adil — MIKe membawa mesej bahawa pembinaan negara berintegriti tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya mesti dibina dari struktur sosial paling asas: keluarga.
Namun, realiti semasa menunjukkan bahawa integriti di negara ini masih berada pada tahap yang membimbangkan. Statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh 2020 hingga 2024 mencatat peningkatan 37 peratus jumlah tangkapan berkaitan rasuah — daripada 998 kepada 1,334 kes. Lebih membimbangkan, peningkatan itu melibatkan bukan sahaja orang awam, malah penjawat awam yang sepatutnya menjadi tunjang kepada sistem pentadbiran negara.
Angka kerugian yang didedahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu RM277 bilion dalam tempoh 2018 hingga 2023 akibat jenayah rasuah bukan sekadar statistik. Ia adalah wang rakyat yang sepatutnya membiayai sekolah, hospital, infrastruktur dan jaringan keselamatan sosial. Ia adalah peluang yang dicuri daripada masa depan generasi akan datang.
Kedudukan Malaysia di tangga ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) turut mencerminkan bagaimana dunia luar melihat kesungguhan negara ini dalam membanteras rasuah. Sasaran untuk berada dalam kelompok 25 teratas menjelang 2033 adalah satu komitmen yang baik, tetapi ia menuntut reformasi yang lebih berani, tegas dan konsisten — bukan sekadar perubahan kosmetik.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pula terus menjadi cermin kepada kelemahan sistem tadbir urus negara. Pendedahan demi pendedahan tentang kerugian berjuta-juta ringgit akibat kelewatan pembekalan kenderaan, penalti yang tidak dituntut, penggunaan aset tamat pajakan, serta kelemahan perolehan dalam GLC, agensi keselamatan dan institusi pendidikan tinggi menunjukkan bahawa masalah integriti bukan bersifat terpencil — ia bersifat sistemik.
Apabila kerajaan boleh “rugi” RM54 juta kerana gagal menuntut penalti, dan “rugi” lagi hampir RM29 juta kerana kelemahan pengurusan pajakan, persoalan yang timbul bukan lagi soal kecuaian semata-mata. Ia menyentuh akauntabiliti, keberanian bertindak, dan ketegasan mempertahankan kepentingan awam.
Hakikatnya, integriti bukan sekadar tentang menjauhi rasuah. Seperti yang ditakrifkan oleh DBP dan Cambridge English Dictionary, integriti adalah kejujuran, ketulusan dan prinsip moral yang tidak boleh dirunding. Ia meliputi seluruh etika kerja dan kehidupan — daripada ketepatan menunaikan amanah, keberanian membuat keputusan yang betul, sehinggalah keikhlasan mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.
Dasar Bersih, Cekap dan Amanah yang diperkenalkan sejak 1982 sudah berusia lebih separuh abad. Namun persoalan pokoknya tetap sama: sejauh mana nilai tersebut benar-benar hidup dalam sistem pentadbiran dan budaya masyarakat hari ini?
Dalam konteks inilah MIKe membawa satu harapan baharu — bahawa pembinaan integriti dapat dimulakan semula dari asas yang paling tulen. Tetapi harapan ini tidak akan menjadi nyata tanpa sokongan kepimpinan yang berintegriti, sistem yang telus, penguatkuasaan yang tegas, serta rakyat yang berani menolak budaya “asal boleh” dan “asal lepas”.
Integriti tidak boleh terus menjadi sekadar slogan tahunan. Ia mesti menjadi cara hidup, budaya kerja dan asas kepada pembangunan negara. Tanpa integriti, segala kemajuan ekonomi, infrastruktur dan teknologi akan berdiri di atas dasar yang rapuh — dan akhirnya runtuh bersama kepercayaan rakyat.



