KUALA LUMPUR: Sabah FC mempamerkan kebangkitan meyakinkan apabila membelasah PDRM FC 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) petang tadi sekali gus menamatkan kemarau kemenangan di tempat lawan.
Keputusan itu menyaksikan pasukan Sang Badak terus memperbaiki kedudukan liga dengan mengumpul 10 mata selepas 10 perlawanan, selain memberi suntikan moral menjelang pertemuan seterusnya.
Selepas kedua-dua pasukan buntu di awal permainan, Darren Lok muncul wira Sabah FC apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-44, sekali gus memastikan pasukan pelawat mendahului sebelum rehat.
Memasuki separuh masa kedua, Sabah FC terus memperkemas tekanan apabila Miguel Cifuentes menggandakan jaringan pada minit ke-54, diikuti gol ketiga hasil sentuhan penyerang import, Ajdin Mujagic pada minit ke-60.
PDRM FC cuba bangkit melalui sepakan penalti Agbre Noel pada minit ke-74, namun harapan tersebut segera dipadam apabila Fergus Tierney menyudahkan sepakan penalti untuk gol keempat Sabah FC sekali gus mengesahkan kemenangan mutlak pasukan pelawat.
Kekalahan itu menjadi tamparan hebat buat PDRM FC yang kini melalui lima kekalahan berturut-turut, sekali gus menambah tekanan menjelang aksi seterusnya.
Selepas ini, Sabah FC yang kini turut menggalas cabaran sebagai finalis Piala FA bakal berdepan DPMM FC di Stadium Likas, sementara PDRM FC dijadualkan bertemu Penang FC di tempat lawan.- SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC



