HomeUtamaSabah satu-satunya negeri kekalkan Bantuan Sosial Sekolah – Julita

Sabah satu-satunya negeri kekalkan Bantuan Sosial Sekolah – Julita

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Sabah kekal sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang masih meneruskan Bantuan Sosial Sekolah, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Mojungki.

Beliau berkata, komitmen kerajaan negeri itu mencerminkan keprihatinan terhadap beban kewangan yang ditanggung rakyat.

“Kementerian akan meneruskan Program Bantuan Sosial Sekolah pada tahun 2026 kepada 1,074 buah sekolah rendah di seluruh Negeri Sabah bagi meringankan beban kewangan para ibu bapa.

“Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Negeri Sabah merupakan satu-satunya negeri yang masih menyediakan bantuan ini,” katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, penerusan bantuan itu selaras dengan komitmen kementeriannya untuk mengekalkan agenda pembangunan wanita, perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan rakyat yang inklusif, dinamik dan relevan dengan keperluan semasa.

Dalam pada itu, Julita memaklumkan kementeriannya turut merancang secara menyeluruh bagi meningkatkan dan memperluas perkhidmatan penjagaan warga emas, termasuk penyediaan institusi jagaan yang lebih sistematik dan berdaya tahan.

“Kompleks Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) Inanam, yang menyediakan khidmat penjagaan berbayar dan sokongan psikologi, dijangka siap pada bulan Ogos 2026. Kemudahan latihan vokasional serta peluang pekerjaan kepada golongan OKU juga disediakan di kompleks ini.

Menurut beliau, Rumah Warga Tua Kendiri Telupid, yang menyasarkan warga emas masih sihat, berupaya berdikari dan tidak mempunyai tempat tinggal, dijangka siap pada Mac 2026.

Selain itu, katanya, Pusat Jagaan Harian (MERPATI) akan diperkenalkan pada tahun 2026 dengan pembukaan awal di Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Kinarut serta di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan, sokongan dan aktiviti sosial harian kepada warga emas.

Julita turut menegaskan bahawa peranan dan sumbangan wanita dalam mengemudi pembangunan Negeri Sabah terus diiktiraf, selaras dengan penjenamaan semula kementeriannya kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Sehubungan itu, katanya, usaha memperkasa wanita diperkukuh menerusi pelaksanaan program baharu bersasar, termasuk Program JHEWA BizBloom bagi memperkasa ibu tunggal dan wanita B40, Program Keluarga Sejahtera Wanita Unggul, serta perluasan Program GENDERasi Harmoni ke 10 daerah.

“Kementerian saya juga akan terus komited memperkasakan program-program tentang perpaduan, institusi kekeluargaan dan kepenggunaan pada tahun 2026,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Didenda RM5,000 gara-gara nombor plat palsu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular