KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana memiliki kenderaan curi oleh Mahkamah Majistret, di sini.
Rodimar Kimar turut dikenakan denda RM2,000, atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda, atas kesalahan itu.
Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki sebuah skuter curi yang disorokkan di kawasan semak di tepi jalan masuk ke sebuah kampung di Kolombong, Inanam, pada 7 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa pengadu membuat laporan polis pada jam 9.45 pagi, 4 Oktober, selepas mendapati skuternya yang diletakkan di kawasan parkir sebuah apartmen di Inanam telah hilang.
Bertindak atas maklumat, polis menahan Rodimar pada jam 11.40 malam, 7 Oktober.
Skuter berkenaan kemudian ditemui di lokasi yang ditunjukkan oleh tertuduh dan dikenal pasti oleh mangsa sebagai miliknya.
Rodimar yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan, manakala pihak pendakwaan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas tamat tempoh hukuman.



