KOTA KINABALU: Seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditemui maut di Dewan Canselor universiti berkenaan, pada Khamis.
Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dipercayai terjatuh dari Dewan Canselor pada Rabu (17 Disember) sebelum ditemukan keesokan harinya oleh pekerja penyelenggaraan yang sedang bertugas di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut.
Kasim berkata, makluman awal diterima kira-kira jam 10.10 pagi dan sepasukan polis bersama pegawai penyiasat telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa ditemui terbaring di atas pentas di dalam Dewan Canselor UMS oleh dua orang pekerja penyelenggaraan yang sedang menjalankan tugas di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pegawai perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 11.10 pagi.
“Pemeriksaan luaran mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan selain kesan akibat terjatuh. Pasukan Forensik IPK Sabah turut berada di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam Dewan Canselor UMS mendapati mangsa dilihat terjatuh pada 17 Disember 2025 kira-kira jam 6.09 petang,” katanya.
Setakat ini, tiada saksi awam yang menyaksikan kejadian tersebut.
“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat. Kes ini diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR). Siasatan lanjut masih diteruskan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.
Sementara itu, UMS dalam satu kenyataan turut mengesahkan kejadian kematian yang melibatkan seorang pelajar lelaki di dalam kawasan kampus universiti berkenaan.
“Kehilangan ini amat dirasai oleh seluruh warga universiti. Buat masa ini, pihak UMS sedang menunggu hasil siasatan lanjut daripada pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.
“Sehubungan itu, UMS merayu kepada orang awam agar menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau kenyataan yang tidak sahih, yang boleh mengganggu proses siasatan dan menambah kesedihan kepada pihak yang terkesan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Korporat UMS.
Menurut kenyataan itu lagi, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan UMS.
“Pihak universiti komited untuk memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif melalui pematuhan ketat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan serta pemantauan berterusan. Segala tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan dapatan rasmi siasatan kelak,” katanya.
UMS juga merakamkan ucapan takziah dan simpati yang sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan yang dikasihi.
“Pihak universiti akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut kepada umum sekiranya perlu,” kata kenyataan itu lagi.



