HomeUtamaAhli politik dipenjara 8 bulan, denda RM5,000 cabul remaja

Ahli politik dipenjara 8 bulan, denda RM5,000 cabul remaja

Read Time:3 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Seorang ahli politik yang mencabul kehormatan seorang wanita empat tahun lalu, dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,000.

Phillip Among, 55, yang digantung jawatannya sebagai Penyelaras Parlimen Putatan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada Jun 2021 susulan kes tersebut juga berdepan empat bulan lagi penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Dzul Elmy Yunus membuat keputusan itu terhadap Phillip selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, Dzul Elmy berkata mahkamah mendapati pembelaan tertuduh hanyalah penafian semata-mata serta tidak menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut menyatakan bahawa selepas beberapa sesi pemeriksaan balas, keterangan mangsa kekal konsisten dengan dakwaannya.

“Walaupun terdapat beberapa percanggahan kecil, ia tidak menjejaskan fakta bahawa mangsa telah dicabul,” katanya sambil menambah bahawa percanggahan itu adalah kecil dan tidak menjejaskan kes pendakwaan.

Phillip didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang gadis berusia 18 tahun pada jam 11 malam, 17 April 2021, di ruang tamu Jesselton Capsule Inn.

Dia disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Phillip untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.

Sementara menunggu rayuan, mahkamah menaikkan wang jaminan Phillip sebanyak RM5,000 lagi dan mengekalkan syarat tambahan termasuk pasport disimpan oleh mahkamah serta keperluan melapor diri di balai polis berhampiran.

Mahkamah memerintahkan hukuman denda dan wang jaminan tambahan itu dibayar hari ini.

Sepanjang perbicaraan, 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala Phillip merupakan satu-satunya saksi pembelaan.

Peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah, yang mewakili tertuduh, memohon agar mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara atas alasan Phillip adalah pesalah pertama dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Fikry berkata anak guamnya mengalami masalah kesihatan serius dan berpanjangan, termasuk darah tinggi serta kesan selepas strok. Katanya, Phillip sangat bergantung kepada pengambilan ubat secara berkala dan pemantauan perubatan, dan hukuman penjara akan menjejaskan kesihatan serta kesejahteraannya.

Beliau turut berkata kesalahan itu adalah di luar karakter tertuduh dan tidak mencerminkan sebarang corak tingkah laku jenayah. Oleh itu, Phillip yang mempunyai empat orang anak untuk ditanggung tidak wajar dikenakan hukuman penjara.

Menurut Fikry, Phillip juga aktif terlibat dalam pelbagai inisiatif kebajikan, khususnya membantu pesakit talasemia, serta konsisten menyertai kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan di kampungnya dengan memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Arfa Anchal Khar, yang mewakili TPR Kareena Kaur Gill Karamjit Singh, menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dengan menyatakan bahawa walaupun mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal yang jelas, trauma psikologi yang dialaminya adalah serius.

“Jenayah seksual dalam masyarakat kita sudah pun membawa stigma dan ketakutan kepada mangsa. Namun, mangsa muda ini menunjukkan keberanian luar biasa untuk tampil bersuara. Keberanian itu perlu diiktiraf oleh mahkamah.

“Tertuduh juga tidak menunjukkan sebarang penyesalan. Dia menafikan semua perbuatan, memberikan penjelasan yang tidak munasabah serta cuba meragui kredibiliti mangsa,” katanya.

Arfa turut memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda, kerana hukuman sedemikian akan mencerminkan keseriusan kesalahan, memberi keadilan kepada mangsa, serta menjadi peringatan jelas bahawa penyalahgunaan kuasa dalam jenayah seksual tidak akan ditoleransi.

Untuk rekod, Phillip masih menunggu keputusan bagi empat lagi pertuduhan mencabul kehormatan seorang peserta Unduk Ngadau Negeri 2021.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Phillip didakwa mencabul mangsa sebanyak empat kali di beberapa lokasi berbeza pada 19 Mei 2021 antara jam 2 petang hingga 10 malam.

Ketika kejadian, Phillip merupakan ketua teknikal pertandingan Unduk Ngadau peringkat negeri 2021.

Bagi kes tersebut, lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang didengar di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 5 Januari menerusi Zoom sebelum tarikh keputusan ditetapkan.

Phillip mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan pada 10 Jun 2021.

RELATED ARTICLES
Utama

Bila Projek Hidroeletrik Upper Padas Akan Mula Beroperasi – ADUN Tamparuli

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular