HomeUtamaSabah tubuh Pasukan Khas Bersepadu tangani isu pelancongan Semporna

Sabah tubuh Pasukan Khas Bersepadu tangani isu pelancongan Semporna

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Sebuah Pasukan Khas (Task Force) Bersepadu ditubuhkan di Sabah yang bertujuan bagi menangani secara menyeluruh isu-isu pelancongan di Semporna yang menjejaskan imej, keselamatan serta kelestarian industri pelancongan negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, penubuhan pasukan itu adalah langkah penting dan bersifat strategik bagi memastikan permasalahan yang berlarutan dapat diselesaikan secara tuntas, bukan sekadar pendekatan reaktif.

Katanya, pasukan itu akan dikawalselia oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Rizal, dengan laporan kemajuan dikemukakan kepada beliau setiap dua minggu bagi memastikan setiap tindakan yang diambil berfokus, berperingkat serta berakauntabiliti.

“Objektif utama pasukan ini adalah untuk menyelesaikan isu pelancongan Semporna melalui pendekatan sistemik yang menyelaraskan peranan, bidang kuasa serta penguatkuasaan antara semua agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Jafry berkata, antara cabaran utama yang dikenal pasti termasuk ketidakselarasan punca kuasa antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah, selain kewujudan struktur tidak berlesen atau haram, isu keselamatan, kebersihan serta pengurusan infrastruktur pelancongan.

Katanya, pasukan itu akan melibatkan pelbagai agensi utama antaranya MOTAC, agensi penguatkuasaan, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, ESSCOM, Tourism Malaysia Sabah, Pejabat Daerah Semporna serta Taman-Taman Sabah.

Menurutnya, kegagalan menangani isu pelancongan di Semporna akan memberi kesan besar kepada keseluruhan sektor pelancongan Sabah, justeru semua pihak diminta memberikan komitmen penuh bagi memastikan penyelesaian yang berkesan dapat dicapai.

Sebagai langkah segera, beliau berkata tindakan ad hoc Task Force telah bermula hari ini, termasuk sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan di Semporna, selain komitmen beliau untuk turun padang bagi memantau sendiri pelaksanaan tindakan yang dirancang.

“Hasrat kita jelas, kita mahu menyelesaikan masalah. Pendekatan yang lebih bersepadu, tegas dan berorientasikan penyelesaian akan diteruskan demi memastikan industri pelancongan Semporna kembali stabil dan mampan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tikam kekasih guna pisau, wanita didakwa sebabkan kecederaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular