Oleh J Evachel John
BELURAN: Jualan bunga untuk ziarah kubur terus mencatat sambutan hangat di Kampung Kuala Sapi, dengan permintaan tinggi setiap kali tibanya acara tahunan ‘mongiang’ (membersihkan) kubur yang menjadi ‘tradisi’ penduduk setempat, khususnya menjelang 31 Disember.
Setiap tahun, Tanah Perkuburan Anglikan di kampung itu menjadi tumpuan penduduk tempatan dan kampung sekeliling yang pulang menziarahi pusara orang tersayang, sekali gus mencipta suasana meriah menjelang tahun baru 2026.
Seorang penjual bunga, Lidyana Pisin @ John, berkata beliau mula menceburi perniagaan bunga sejak 2019, dan jualan dijalankan setiap tahun dari 28 hingga 31 Disember.
“Setiap tahun, sambutan sangat menggalakkan. Saya mula berniaga bunga sejak 2019 dan permintaan sentiasa meningkat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kg. Kuala Sapi, Beluran.

Harga bunga yang dijual antara RM5 hingga RM20 bagi satu pek, manakala bunga berpasu dijual pada harga RM15 hingga RM22, bergantung kepada jenis dan saiz.
Menurut Lidyana, pelanggan bukan sahaja penduduk setempat, malah datang dari Beluran, Sandakan dan Telupid, termasuk mereka yang berasal dari Kuala Sapi tetapi kini bekerja di luar kawasan.
“Ada yang bekerja di Telupid dan Sandakan akan menghubungi saya setiap tahun untuk membuat tempahan awal bunga,” katanya.
Beliau menambah, jualan bunga akan diteruskan esok, 31 Disember, di lokasi tanah perkuburan bagi memudahkan pengunjung membeli bunga semasa datang ‘mongiang’ kubur.

Seorang penduduk kampung, Tianah Siol, berkata kehadiran peniaga bunga di kampung memudahkan pengunjung yang pulang awal bercuti untuk membeli bunga.
“Pengunjung dari bandar yang balik bercuti di kampung awal tidak perlu risau untuk mencari bunga. Jika tidak sempat membeli sebelum 31 Disember, bunga masih boleh dibeli pada harga mampu milik di sekitar jalan masuk tanah perkuburan semasa ‘mongiang’ (membersihkan atau meluas) kubur esok,” katanya.
Selain aktiviti ‘mongiang’, kebaktian di Tanah Perkuburan Anglikan Kuala Sapi turut diadakan pada jam 10 pagi esok.
Para pengunjung yang hadir biasanya menggunakan kesempatan itu untuk bertemu sanak saudara lain yang turut menziarahi kubur, sekali gus menambahkan lagi keunikan ‘tradisi’ tersebut dan mengeratkan hubungan komuniti.



