KOTA KINABALU : Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2026 perlu dan wajib disalurkan sepenuhnya kepada pelajar tanpa sebarang potongan, termasuk bagi tujuan aktiviti sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, bantuan itu merupakan amanah kerajaan yang bertujuan meringankan beban perbelanjaan awal persekolahan dan mesti dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar.
“BAP ini adalah untuk kegunaan pendidikan murid seperti pakaian sekolah, kasut, alat tulis, beg sekolah dan keperluan asas pembelajaran.
“Tiada potongan dibenarkan atas apa juga alasan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Arif berkata, ketegasan itu penting bagi memastikan objektif bantuan benar-benar tercapai, khususnya dalam membantu keluarga yang berdepan cabaran kos sara hidup serta faktor geografi, terutama di Sabah.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar menggunakan bantuan tersebut secara berhemah demi keselesaan, keyakinan dan motivasi anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan baharu.
Dalam pada itu, Arif menyokong kaedah penyerahan bantuan melalui pertemuan bersemuka antara pihak sekolah dengan ibu bapa kerana ia menjamin ketelusan serta membuka ruang komunikasi dua hala berkaitan perkembangan murid.
“Bagi sekolah di kawasan pedalaman yang berdepan kekangan logistik, kaedah penyerahan secara fleksibel boleh dipertimbangkan selagi mematuhi garis panduan kewangan dan memastikan bantuan sampai kepada penerima yang layak,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama erat antara pasukan Focal Person Sabah dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan terus diperkukuh pada 2026 bagi memastikan pemantauan bantuan pendidikan berjalan berkesan dan memberi manfaat maksimum kepada murid. – SABAH MEDIA



