HomeUtamaTun Musa seru rakyat Sabah perkukuh tekad, perpaduan dan pembangunan mampan

Tun Musa seru rakyat Sabah perkukuh tekad, perpaduan dan pembangunan mampan

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyeru seluruh rakyat Sabah agar menjadikan kedatangan Tahun Baharu sebagai ruang bermuhasabah, memperbaharui tekad serta memperkukuh usaha bersama demi masa depan negeri yang lebih baik dan bermakna.

Dalam perutusan Tahun Baharu, Tun Musa menegaskan bahawa permulaan tahun baharu wajar dimanfaatkan untuk menilai pencapaian serta cabaran yang telah dilalui, di samping merangka perancangan dan azam baharu ke arah kemajuan berterusan.

Beliau menyeru Kerajaan Negeri supaya terus komited melaksanakan agenda pembangunan sosioekonomi yang mampan dan inklusif.

Menurutnya, ia adalah dengan memberi penekanan kepada pemerkasaan infrastruktur, penyelesaian isu-isu berlarutan serta peningkatan kebajikan dan kualiti hidup rakyat.

Tambahnya lagi, Sabah juga perlu terus menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi.

“Pembangunan sektor-sektor utama seperti perkilangan, pelancongan dan pertanian perlu dipertingkatkan bagi menjana peluang pekerjaan, mengukuhkan ekonomi negeri serta menjamin kemakmuran jangka panjang,” katanya.

Dalam masa yang sama, Tun Musa menekankan bahawa perpaduan merupakan kekuatan terbesar rakyat Sabah.

Katanya, kepelbagaian agama dan etnik di negeri ini disifatkan sebagai satu anugerah yang perlu dihargai dan dipelihara bersama.

Tun Musa turut menyeru golongan yang lebih bernasib baik agar menghulurkan bantuan kepada golongan rentan dan kurang berkemampuan, selain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan negara yang berkorban demi mempertahankan keselamatan, kedaulatan serta keamanan negeri dan negara.

Beliau menzahirkan harapan agar Tahun Baharu ini membawa kemajuan, kemakmuran, keamanan dan keharmonian yang berterusan kepada Malaysia secara keseluruhan dan khususnya kepada Sabah.

“Dengan usaha bersama, kebijaksanaan serta semangat perpaduan yang utuh, saya yakin kita mampu melangkah ke hadapan menuju masa depan yang lebih cerah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Hujan, ribut petir diramal berlaku di Sabah menjelang tahun baharu 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular