KOTA KINABALU: Penduduk di negeri ini dinasihatkan agar sentiasa berwaspada berikutan ramalan cuaca hujan berterusan menjelang ambang tahun baharu 2026 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, situasi hujan atau ribut petir turut diramal berlaku di Sabah pada Khamis, 1 Januari 2026.
“Situasi cuaca pada malam ambang tahun baharu diramalkan hujan akan berlaku di kebanyakan kawasan, yang mungkin menjejaskan aktiviti sambutan di luar bangunan atau tempat terbuka.
“Manakala pada Khamis (1 Januari 2026), keadaan cuaca hujan dan ribut petir turut diramalkan berlaku pada sebelah pagi dan petang serta berlarutan sehingga malam,” menurut kenyataan itu di sini pada Rabu.
Di Wilayah Persekutuan Labuan, cuaca yang sama turut diramalkan berlaku bermula malam ini sehingga Khamis,1 Januari 2026.
Orang ramai, khususnya pemandu, diingatkan agar lebih berhati-hati di jalan raya memandangkan permukaan jalan yang licin dan jarak penglihatan yang terhad semasa hujan.
Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk mengikuti perkembangan amaran cuaca terkini melalui aplikasi myCuaca atau laman web rasmi MET Malaysia. – SABAH MEDIA



