HomeSukanPenglibatan aktif wanita dalam sukan selari aspirasi SMJ

Penglibatan aktif wanita dalam sukan selari aspirasi SMJ

Read Time:1 Minute, 20 Second

KUNDASANG :  Penglibatan aktif golongan wanita dalam bidang sukan terus diperkasakan selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan masyarakat yang inklusif, berdaya saing dan seimbang.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Johari@Joe Suhaimin berkata, penganjuran kejohanan badminton khas untuk wanita bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah platform penting dalam menggalakkan penyertaan wanita secara lebih tersusun dan kompetitif dalam arena sukan.

Katanya, penganjuran kejohanan seumpama itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan pihak berkepentingan dalam menyokong pembangunan sukan wanita, khususnya di peringkat komuniti dan luar bandar.

“Sukan bukan sahaja membentuk kekuatan fizikal, malah berperanan membina disiplin, ketahanan mental, semangat kesukanan serta nilai kepimpinan dalam kalangan wanita dan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kejohanan Badminton Wanita Tertutup Kundasang Piala Tuan Johari Suhaimin di sini baru- baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kundasang Norazura Salim.

Johari berkata, melalui kejohanan seumpama ini, bakat-bakat baharu dari Kundasang dan kawasan sekitarnya dapat digilap serta diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

“Selain itu, kejohanan berkenaan turut berfungsi sebagai medium untuk mengeratkan silaturahim, menimba pengalaman dan meningkatkan mutu permainan dalam kalangan peserta, sejajar dengan hasrat melahirkan masyarakat yang sihat, aktif dan bersatu padu.

“Seiring dengan hala tuju SMJ, kerajaan akan terus menyokong penglibatan wanita dan belia dalam pelbagai bidang termasuk sukan agar mereka mampu berdaya saing, cergas serta tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri,” katanya.

Beliau turut menyeru agar wanita di daerah ini terus melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sukan, sekali gus membuktikan bahawa wanita tempatan berupaya menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosial dan komuniti.

RELATED ARTICLES
Sukan

Liga Super : Hasrat Sabah FC raih tiga mata tidak kesampaian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular