HomeUtamaTindakan segera diambil susulan banjir di dua kampung di Ranau

Tindakan segera diambil susulan banjir di dua kampung di Ranau

Read Time:1 Minute, 8 Second

RANAU: Kerajaan negeri mengambil tindakan segera melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem saliran sungai susulan kejadian banjir yang melanda Kampung Mohimboyon dan Kampung Lipantai di sini, Jumaat malam lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, arahan segera telah dikeluarkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang, khususnya ketika cuaca tidak menentu ketika ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, antara langkah awal yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk pembersihan sistem perparitan, pemasangan paip pembentung baharu, penambahbaikan laluan aliran air serta penyelenggaraan kemudahan awam yang terjejas akibat limpahan air.

“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin dan mengurangkan risiko banjir kilat, terutamanya di kawasan kampung yang terdedah kepada kenaikan paras air sungai,” katanya dalan kenyataan di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian berkenaan, seramai 19 pemilik kenderaan yang terperangkap akibat laluan dinaiki air berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas sukarelawan pacuan empat roda daripada Kundasang Highland Four Wheel Drive Club (KH4WDC), Kilimu Garage (KGR) dan Red Army 4X4.

Selain itu, pihak polis turut menjalankan pemantauan di kedua-dua kampung terlibat bagi memastikan keadaan terkawal serta menjamin keselamatan penduduk sepanjang tempoh hujan lebat.

Masidi turut memberi jaminan bahawa Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan akan terus bersiap siaga memantau situasi semasa serta menyalurkan bantuan yang diperlukan kepada penduduk terjejas, termasuk sekiranya berlaku kejadian banjir atau tanah runtuh pada masa hadapan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Inisiatif Back To School di Tanjung Keramat bantu persiapan awal persekolahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular