TENOM: Seramai 140 peserta daripada 14 persatuan seluruh Sabah menyertai Pertandingan Tarian Naga dan Singa anjuran Persatuan Yung Yee Tenom.
Acara perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi, di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, hari ini.
Jamawi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada persatuan berkenaan yang diketuai Pengerusinya, Tay Kok Kiong serta Pengerusi Penganjur, Chang Pei Pei atas jemputan merasmikan majlis tersebut.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang mengambil bahagian, melibatkan persatuan dari daerah Tenom, Keningau, Penampang, Kota Kinabalu, Sandakan, Beaufort, Membakut, Inanam dan Papar.
“Pertandingan ini merupakan kali kedua dianjurkan selepas lapan tahun lalu dan memberi peluang kepada masyarakat setempat menyaksikan kehebatan serta kepelbagaian seni tarian singa dari seluruh Sabah,” katanya dalam kemyataan hari ini.
Jamawi berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja memelihara warisan budaya, malah mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya akan menganjurkan program selama tiga hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 13 hingga 15 Februari ini di Maleh Square.
Justeru, beliau mengalu-alukan dan menjemput semua lapisan masyarakat khususnya di DUN Melalap untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina itu.
Antara pengisian yang dirancang sempena perayaan itu termasuk gerai jualan, pertandingan mewarna dan melukis kanak-kanak serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin serta beberapa Kapitan Cina.



