MELAKA: Jaringan lewat perlawanan membolehkan Sabah FC mengelak kekalahan apabila terikat 2-2 menentang Melaka FC pada aksi Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini malam tadi.
Meskipun berdepan tekanan hebat sepanjang perlawanan, skuad The Rhinos mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-88 menerusi sentuhan penyerang mereka, Fergus Tierney, hasil hantaran Ajdin Mujagic.
Perlawanan menyaksikan Sabah beberapa kali ketinggalan selepas Melaka mendahului seawal minit kedua dan sekali lagi pada minit ke-37, namun pasukan pelawat kekal tenang untuk terus mencari ruang menembusi pertahanan tuan rumah.
Gol penyamaan pertama Sabah hadir pada minit ke-14 menerusi Mujagic yang pantas menyambar bola pantulan selepas sepakan jarak jauh Tierney gagal ditangkap kemas penjaga gol Melaka.
Situasi perlawanan berubah selepas Melaka terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain tengah mereka, Dino Kalesic, dilayangkan kad merah pada minit ke-44, sekali gus memberi kelebihan kepada Sabah untuk menguasai permainan di babak kedua.
Sabah terus melancarkan asakan bertali arus namun beberapa percubaan gagal menepati sasaran sebelum usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada penghujung perlawanan. SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC



