HomeIsu tempatanMini karnival kerjaya FSMP 2026 perkasa kebolehpasaran graduan UMS

Mini karnival kerjaya FSMP 2026 perkasa kebolehpasaran graduan UMS

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU : Penganjuran Mini Karnival Kerjaya Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) 2026 dilihat sebagai platform strategik dalam memperkasa kebolehpasaran graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS), sejajar dengan keperluan landskap pekerjaan yang semakin mencabar dan kompetitif.

Dekan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan UMS, Prof. Ts. Dr. Hasmadi Mamat berkata graduan masa kini bukan sahaja perlu memiliki kecemerlangan akademik, malah perlu dilengkapi dengan kemahiran insaniah, kecekapan digital, pemikiran kritikal serta keupayaan menyesuaikan diri dengan kehendak industri semasa.

“Dalam dunia pekerjaan yang semakin dinamik, penguasaan ilmu semata-mata tidak lagi mencukupi. 

“Graduan perlu lebih berdaya saing, beretika dan bersedia menyumbang secara bermakna kepada industri dan masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Mini Karnival Kerjaya FSMP 2026, baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 21 hingga 22 Januari itu dianjurkan dengan kerjasama strategik Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC) UMS serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Malaysia, dengan penglibatan aktif rakan industri daripada sektor awam dan swasta.

Menurut beliau, karnival kerjaya berkenaan memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar melalui pelbagai pengisian termasuk sesi perkongsian kerjaya, temuduga mini, bengkel penulisan resume serta demonstrasi keusahawanan digital.

“Program sebegini membantu pelajar memahami realiti sebenar dunia pekerjaan, membina keyakinan diri, mengasah kemahiran komunikasi dan merancang hala tuju kerjaya secara lebih sistematik dan berinformasi,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak penaja antaranya Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal UMS (PPPH), Adabi Sabah Distribution Sdn. Bhd., CKS dan C & F Enterprise atas sokongan strategik dalam menjayakan program tersebut.

Sementara itu, Pengarah CEDeC UMS, Ts. Dr. Sidah Idris berkata Mini Karnival Kerjaya 2026 menyediakan ruang penting kepada pelajar untuk meneroka pelbagai peluang kerjaya serta membina jaringan profesional sejak di bangku universiti.

“Majikan hari ini turut menilai aspek komunikasi, sikap, keyakinan diri dan kesediaan untuk belajar. Program ini membantu pelajar memahami keperluan tersebut secara lebih dekat,” katanya.

Beliau turut menggalakkan pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan dengan berinteraksi secara aktif bersama wakil industri dan agensi berkaitan.

Mini Karnival Kerjaya FSMP 2026 turut memberi impak positif dalam memperkukuh kerjasama universiti-industri serta menyokong agenda pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan UMS.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Dua vesel nelayan ditahan, empat warga asing disiasat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular