HomeUtamaMaklum pihak atasan atau kepada saya jika tidak mampu laksana tanggungjawab -...

Maklum pihak atasan atau kepada saya jika tidak mampu laksana tanggungjawab – Hajiji

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Penjawat awam negeri yang merasakan tidak mampu untuk melaksanakan tugas yang dipertanggungjawab secara berkesan haruslah memaklumkan kepada pihak atasan termasuk Ketua Menteri bagi pertimbangan penempatan semula.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu adalah demi membuka ruang kepada penambahbaikan, memperkasa keupayaan perkhidmatan awam dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.

Beliau berkata penjawat awam bukan sekadar pelaksana arahan tetapi merupakan rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kerajaan negeri.

“Penjawat awam bukan sekadar ‘Saya Yang Menurut Perintah’ semata-mata, tetapi juga adalah rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kepada hasil yang memberi impak langsung terhadap kehidupan rakyat dan kemajuan tanahair tercinta.

Antara penjawat awam negeri dan persekutuan yang hadir pada majlis itu – SABAH MEDIA / ALEXTER ROSALIA

“Ingin saya tegaskan bahawa perkhidmatan awam merupakan tulang belakang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan. Kerajaan boleh bertukar ganti dan dasar boleh berubah atau diubah sesuai; namun perkhidmatan awam mesti kekal profesional, neutral serta berorientasikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Amanat kepada Pejawat Awam negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Jumaat.

Hajiji berkata,  anggota penjawat awam perlu padu dan teguh dengan semangat ingin sentiasa berkhidmat, dan teguh dengan disiplin dan integriti.

Katanya, Kerajaan Negeri komited untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang lebih kemas, tersusun dan berdisiplin

“Ini kerana implikasi perlakuan tidak berintegriti bukan sahaja mencemarkan nama baik individu, malah memberi kesan besar kepada keluarga, institusi yang diwakili, serta boleh mengakibatkan kerugian besar kepada negeri dan negara,” katanya.

Sementara itu, bagi memperkukuhkan lagi tahap intergriti perkhidmatan awam, Hajiji berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) kini sedang berusaha untuk mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (MS ISO 9001:2015) dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS 37001:2025) secara bersepadu.

“Ia bakal memperkukuhkan tadbir urus organisasi, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta menzahirkan komitmen yang berterusan terhadap integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dan pentadbiran.

“Saya ingin mengingatkan bahawa perkhidmatan awam mesti terus diperkasa untuk menjamin sistem penyampaian yang efektif dan efisien secara konsisten.

“Seruan ini tidak hanya kepada agensi perkhidmatan awam, tetapi juga kepada semua kakitangan Badan-Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Dua lelaki didakwa edar dadah lebih 500kg

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular