HomeUtamaPengurusan Tadbir Urus Rumah Ibadat Berlandaskan Undang-Undang Sedia Ada – Kementerian Perpaduan

Pengurusan Tadbir Urus Rumah Ibadat Berlandaskan Undang-Undang Sedia Ada – Kementerian Perpaduan

Read Time:1 Minute, 15 Second

KUALA LUMPUR, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menegaskan bahawa pengurusan isu berkaitan tadbir urus rumah ibadat di negara ini dilaksanakan sepenuhnya berlandaskan kerangka perundangan sedia ada, selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip kedaulatan undang-undang.

Menurut Kementerian itu, urusan pembinaan, pengubahsuaian dan pematuhan rumah ibadat adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui beberapa peruntukan undang-undang utama, termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang dilaksanakan melalui PLANMalaysia.

KPN dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa Akta 171 memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengawal selia struktur bangunan dan memastikan tiada pembinaan rumah ibadat dilakukan tanpa kelulusan, manakala Akta 133 menekankan aspek teknikal serta keselamatan struktur bangunan bagi menjamin keselamatan awam.

manakala Akta 172 pula berperanan dalam perancangan penzonan dan penetapan tapak khusus rumah ibadat di peringkat tempatan .

Sehubungan itu, KPN menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan rumah ibadat perlu ditangani secara berhemah, berfakta dan berlandaskan undang-undang, tanpa mengheret sentimen perkauman atau keagamaan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Kementerian berkenaan turut menyatakan komitmennya untuk terus berperanan sebagai pemudah cara dalam memperkukuh kefahaman, dialog serta keharmonian antara penganut agama, di samping menghormati bidang kuasa agensi berkaitan dan keputusan pihak berkuasa yang dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang.

Dalam masa sama, KPN turut menyeru agar semua pihak menghormati proses perundangan, mengelakkan spekulasi serta mengekalkan semangat saling menghormati demi memelihara perpaduan nasional dan kestabilan negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Anugerah Sukan Sabah Ke-17 iktiraf atlet, jurulatih dan penggiat sukan negeri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular