TONGOD: Sebuah kuarters Klinik Kesihatan Tongod musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Turut terjejas sebuah rumah tidak kekal yang terbakar kira-kira 20 peratus serta sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max yang mengalami kerosakan sekitar 10 peratus.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah dalam kenyataan berkata panggilan kecemasan diterima pada jam 2.40 pagi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan yang berada kira-kira 172 kilometer dari lokasi tiba di tempat kejadian pada jam 6.30 pagi.
Operasi pemadaman melibatkan enam anggota BBP Kota Kinabatangan bersama empat anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Tongod.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.48 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.58 pagi.
“PBS Saguon Tongod memadam kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan satu pancutan menggunakan pam angkut dan sumber air dari pili bomba berhampiran manakala pasukan bomba BBP Kota Kinabatangan menggunakan satu aliran salur bantu mula.
“Tiada mangsa terlibat dilaporkan dan operasi ditamatkan selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.




