HomePendapatMalaysia Catat Rekod Dagangan Tertinggi, Prestasi E&E Pacu Pertumbuhan Ekonomi Negara

Malaysia Catat Rekod Dagangan Tertinggi, Prestasi E&E Pacu Pertumbuhan Ekonomi Negara

Read Time:3 Minute, 41 Second

OLEH WAN AZRAID ADNAN

RINGKASAN AI 

1️⃣ Malaysia merekodkan jumlah dagangan tertinggi dalam sejarah pada 2025 sebanyak RM3.061 trilion dengan pertumbuhan ekonomi 5.2%.

2️⃣ Sektor Electrical & Electronics (E&E) kekal pemacu utama eksport negara, menyumbang 44% dengan lonjakan ketara 18.3%.

3️⃣ Lebihan dagangan RM151.8 bilion dikekalkan untuk tahun ke-28 berturut-turut walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

4️⃣ Amerika Syarikat dan Taiwan mencatat lonjakan eksport tinggi, manakala Singapura kekal pasaran eksport terbesar Malaysia.

5️⃣ China kekal sumber import terbesar dan menyumbang defisit dagangan besar RM164 bilion, menunjukkan kebergantungan import yang signifikan.

Pada tahun 2025, Malaysia telah merekodkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada tahap 5.2%, dengan nilai RM 1.735 trilion. Seiringan itu, negara turut mencapai prestasi dagangan yang sangat memberangsangkan apabila merekodkan jumlah dagangan tertinggi dalam sejarah. 

Menurut laporan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) yang diterbitkan baru-baru ini, jumlah dagangan negara pada tahun 2025 telah melepasi paras RM 3 trilion buat pertama kali. Secara keseluruhan, jumlah dagangan mencapai RM 3.061 trilion, meningkat 6.3% berbanding tahun 2024. 

Jumlah eksport turut mencatat rekod tertinggi dalam sejarah negara sebanyak RM 1.607 trilion, meningkat 6.5% daripada RM 1.509 trilion pada tahun sebelumnya. Pada masa sama, jumlah import meningkat 6.2%, daripada RM 1.370 trilion pada 2024 kepada RM 1.455 trilion pada 2025. 

Dengan perkembangan ini, Malaysia merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM 151.80 bilion, sekali gus mengekalkan rekod lebihan dagangan selama 28 tahun berturut-turut sejak 1998. 

Pencapaian kukuh tersebut mencerminkan daya tahan dan daya saing Malaysia sebagai sebuah negara dagang utama dunia, walaupun berdepan suasana dagangan global yang tidak menentu susulan perang tarif Amerika Syarikat dan ketegangan geopolitik yang berpanjangan. Sepanjang tempoh 2019 hingga 2025, jumlah dagangan, eksport dan import menunjukkan trend peningkatan, manakala lebihan dagangan pula kekal mendatar. 

Produk Electrical & Electronics (E&E) terus kekal sebagai eksport terbesar negara, merangkumi 44% daripada keseluruhan eksport. Pada tahun 2025, sektor ini merekodkan lonjakan besar 18.3%, meningkat daripada RM 602 bilion kepada RM 712 bilion. 

Sebaliknya, walaupun mencatat penurunan 18.7%, produk petroleum masih kekal sebagai eksport kedua terbesar berjumlah RM 104 bilion. Produk LNG turut merekodkan penurunan ketara sebanyak 16.6%, daripada RM 62 bilion kepada RM 52 bilion. 

Dalam sektor pertanian, produk berasaskan kelapa sawit kekal sebagai eksport terbesar dengan nilai hampir RM 125 bilion, merangkumi Palm Oil & Palm Oil Based Agriculture Products bernilai RM 84 bilion serta Palm Oil-Based Manufactured Products sebanyak RM 41 bilion. 

Dari segi pasaran, Singapura kekal sebagai destinasi eksport terbesar dengan pegangan 15% daripada keseluruhan eksport negara. Nilai eksport ke Singapura meningkat 8.1% kepada RM 249.6 bilion. Dalam kalangan negara ASEAN lain, Thailand mencatat RM 64 bilion dan Viet Nam RM 55 bilion sebagai antara pasaran eksport utama. 

Walaupun berdepan cabaran rundingan tarif, eksport ke Amerika Syarikat melonjak 17.2% kepada RM 233 bilion, menjadikannya pasaran eksport kedua terbesar. Sementara itu, Taiwan mencatat lonjakan eksport tertinggi sebanyak 31.2%, sekali gus naik satu tangga menjadi pasaran eksport kelima terbesar Malaysia. 

Dari sudut import, produk E&E juga merupakan kategori terbesar dengan nilai RM 568 bilion, meningkat 24.6% dan merangkumi 39% daripada keseluruhan import negara. Secara keseluruhan, nilai eksport E&E sebanyak RM 712 bilion masih melebihi import berjumlah RM 568 bilion. 

Majoriti daripada 10 produk import utama merekodkan penurunan, termasuk Petroleum Products yang merosot 24.8%, diikuti Crude Petroleum sebanyak 15.2% dan Iron & Steel Products sebanyak 13.7%. Sebaliknya, beberapa sektor mencatat peningkatan seperti Transport Equipment (13.6%), Optical & Scientific Equipment (8.8%) serta Machinery, Equipment & Parts (6.3%). 

China kekal sebagai sumber import terbesar dengan pegangan 24% daripada keseluruhan import. Nilai import dari China melonjak 19.1% kepada RM 353 bilion. Namun begitu, dagangan dengan China merekodkan defisit dagangan besar sebanyak RM 164 bilion, apabila nilai import jauh melebihi eksport sebanyak RM 189 bilion. 

Selari dengan lonjakan eksport ke Taiwan sebanyak 31.2%, import dari Taiwan turut meningkat 32.9%, menjadikannya negara sumber import ketiga terbesar.

Manakala Import dari Viet Nam meningkat 26.1% dan Republic of Korea juga meningkat 16.3%. 

Indonesia pula muncul sebagai negara import ketujuh terbesar dengan nilai RM 63 bilion, meningkat 2.8%. Namun, negara itu tidak berada dalam kelompok 10 pasaran eksport terbesar Malaysia, sekali gus menunjukkan Malaysia lebih banyak mengimport berbanding mengeksport ke Indonesia. 

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh autonomi pengurusan alam sekitar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular