HomeUtamaKematian bayi: Pengasuh dipenjara lima tahun

Kematian bayi: Pengasuh dipenjara lima tahun

Read Time:2 Minute, 51 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang pengasuh dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah mengabaikan seorang bayi lelaki berusia empat bulan di bawah jagaannya sehingga menyebabkan kematian bayi itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Chong Chau Ying, 64, selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan Chong diletakkan di bawah bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM3,000, jika gagal dipenjara setahun.

Chong juga diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan, jika gagal, didenda RM5,000.

Chong, yang mempunyai tanggungjawab menjaga bayi itu, didapati bersalah bertindak cuai sehingga menyebabkan bayi berkenaan terabai di Taman Sinar Baru, Jalan Damai, di sini, antara jam 12 tengah hari hingga 1.30 tengah hari pada 11 November 2022.

Dia disabitkan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 31 (1) Akta yang sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketika rayuan hukuman, peguam Artcules Wong Pak Cong yang mewakili Chong memohon hukuman denda minimum tanpa pemenjaraan.

Menurutnya, tertuduh tidak mempunyai rekod sabitan lampau, selain menyesali perbuatannya dan mempunyai empat orang anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon hukuman berat dikenakan kerana kesalahan itu serius dan bukan sekadar kecuaian biasa.

“Ini bukan kelalaian seketika. Ini adalah kecuaian melampau yang menyebabkan kematian bayi berusia empat bulan yang tidak berdaya dan tidak mampu mempertahankan diri.

“Tertuduh bukan orang asing. Dia seorang pengasuh. Dia meletakkan dirinya sebagai individu yang mampu menjaga bayi. Ibu bapa bayi itu, dengan kepercayaan penuh, menyerahkan anak mereka buat pertama kali kepada tertuduh. Kepercayaan itu dikhianati dengan cara paling tragis.

“Tertuduh mempunyai jagaan, kawalan dan tanggungjawab sepenuhnya terhadap kanak-kanak itu. Bersama tanggungjawab itu hadir kewajipan undang-undang dan moral pada tahap tertinggi. Tertuduh gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata kecuaian Chong bukan sekadar menyebabkan kecederaan ringan, sebaliknya mengakibatkan kematian akibat lemas ketika bayi berada di bawah jagaan tunggal tertuduh.

Fazriel berkata Chong juga lewat mendapatkan bantuan selepas bayi mengalami kesukaran.

“Daripada bertindak segera, menghubungi perkhidmatan kecemasan atau membawa bayi mendapatkan rawatan perubatan segera, tertuduh menunggu hampir satu jam sebelum memaklumkan ibu bapa.

“Dalam kes melibatkan bayi, setiap saat penting. Setiap minit penting. Satu jam adalah tidak boleh diterima.

“Kelewatan ini menunjukkan bukan sekadar kecuaian, tetapi sikap tidak peduli yang mengejutkan terhadap situasi mengancam nyawa. Tertuduh mempunyai kewajipan untuk bertindak segera namun gagal berbuat demikian,” katanya.

Fazriel memohon mahkamah agar menghantar mesej jelas dan tegas bahawa kanak-kanak, khususnya bayi, mesti dilindungi dalam apa jua keadaan.

“Pengasuh yang menerima tanggungjawab menjaga bayi mesti tahu bahawa mereka perlu menjaga bayi dengan baik. Jika mereka gagal sehingga bayi mati, akibatnya sangat serius,” katanya.

Penyataan impak (Victim Impact Statement) daripada ibu bapa turut dikemukakan di mahkamah, menyatakan bahawa kehidupan mereka berubah sepenuhnya selepas kehilangan bayi mereka, terutamanya dalam kerjaya mereka sebagai doktor.

Mereka turut memaklumkan kedua-duanya disahkan menghidap kemurungan dan Gangguan Tekanan Pascatrauma (PTSD).

“Hospital, tempat kami dahulu menyelamatkan nyawa, kini menjadi pencetus trauma yang kuat.

“Kami bergantung kepada terapi psikiatri dan ubat-ubatan hanya untuk menjalani kehidupan seharian, menghadapi dilema antara kebas emosi dan kesakitan akibat kehilangan,” kata mereka.

Sementara itu, Chong turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi namun mahkamah menasihatkannya membuat permohonan rasmi bersama notis rayuan.

Sepanjang perbicaraan, enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

RELATED ARTICLES
Utama

401 bangunan di Sabah patuhi syarat Sijil Perakuan Bomba

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular