HomeUtamaLelaki tempatan didenda RM10,000 benarkan imigran haram masuk premis

Lelaki tempatan didenda RM10,000 benarkan imigran haram masuk premis

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dikenakan denda RM10,000 kerana membenarkan dua orang imigran haram masuk atau berada di dalam premisnya.

Tertuduh, Yongle @ Samblih Nip, 63, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain, hari ini.

Mahkamah menjatuhkan denda RM5,000 atau tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan.

Yongle mengaku membenarkan dua imigran berusia 20 dan 55 tahun berada di dua rumah tidak bernombor di Kg Keritan Ulu Senagang, Keningau pada 19 Februari 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2), yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM30,000, penjara tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya, bagi setiap imigran haram yang dijumpai di premis.

Mengikut fakta kes, pasukan penguatkuasaan Imigresen menjalankan operasi dan mendapati dua warga asing berada di premis tersebut, di mana seorang daripadanya tidak mempunyai dokumen sah.

Hasil siasatan lanjut mendapati tertuduh merupakan pemilik geran tanah premis berkenaan.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman denda minimum tanpa penjara kerana mempunyai tanggungan keluarga serta menghadapi masalah kesihatan dan kewangan yang terhad.

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Imigresen, Mohd Sharifuddin Salim, menuntut hukuman setimpal.

Dalam kes lain di mahkamah sama, seorang warga China, Lin Mao, didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Akta Imigresen.

Bagi pertuduhan pertama, Lin Mao, pemegang pasport Republik Rakyat China, didakwa masuk ke Malaysia tanpa pas sah pada 11 Februari tahun ini, jam 7.40 malam, di Tingkat 2, Bahagian Transborder/Transit Kaunter Pemeriksaan Imigresen, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3), yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, serta disebat maksimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Lin didakwa tidak hadir di hadapan Pegawai Imigresen setelah tiba di KKIA melalui udara pada 5 Februari, antara jam 11.45 pagi hingga 4.20 petang.

Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 24(2)(a) Akta Imigresen 1959/63 dibaca bersama Seksyen 24(1), dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57, yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak merekodkan pengakuan daripada tertuduh dan menetapkan 10 Mac untuk sebutan semula kes.

RELATED ARTICLES
Utama

401 bangunan di Sabah patuhi syarat Sijil Perakuan Bomba

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular