HomeUtamaPelancaran papan tanda pantun perkasa warisan budaya, tambah nilai pelancongan Sabah

Pelancaran papan tanda pantun perkasa warisan budaya, tambah nilai pelancongan Sabah

Read Time:1 Minute, 51 Second

TAWAU: Sebanyak 10 papan tanda pantun dilancarkan di Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR) sebagai usaha memperkasa warisan budaya tempatan sekali gus memperkaya pengalaman pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jaffry Ariffin berkata, Sabah sememangnya terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budayanya, namun dalam menghadapi persaingan pelancongan global, nilai tambah perlu ditawarkan kepada pelancong.

“Melalui pemasangan papan tanda pantun ini, pengunjung bukan sahaja menikmati keindahan alam, tetapi turut berinteraksi dengan bahasa serta memahami identiti budaya tempatan dengan lebih mendalam,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal pada Majlis Pelancaran Papan Tanda Pantun bersempena Program Pemerkasaan Pantun di Taman Tunku Abdul Rahman 2026 di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, pada Selasa.

Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Taman-Taman Sabah itu bukan sahaja signifikan dari sudut kebudayaan, malah mempunyai nilai strategik dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri.

Beliau berkata, program berkenaan kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dengan pencapaian memberangsangkan.

Katanya, pada 2024 sebanyak 10 papan tanda pantun dipasang di laluan pendakian Gunung Kinabalu, manakala tahun lalu 15 papan tanda ditempatkan di kawasan Semporna melibatkan Pulau Bohey Dulang, Bukit Bohey Dulang, Pulau Mantabuan dan Pulau Sibuan.

“Pantun bukan sekadar puisi tradisional, tetapi mencerminkan kehalusan budi, kebijaksanaan serta cara hidup masyarakat kita.

“Usaha memartabatkan pantun perlu diteruskan secara inovatif agar kekal relevan dan dihargai generasi masa kini,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri komited menyokong inisiatif yang menggabungkan pemeliharaan alam sekitar, pemerkasaan budaya dan pembangunan pelancongan secara bersepadu selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.

“Program seperti ini mempunyai potensi besar untuk diperluas ke kawasan lain termasuk taman marin, tapak warisan dan destinasi pelancongan utama di Sabah.

“Ia bukan sahaja mampu menjadi produk pelancongan budaya yang unik, malah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara bahasa dan warisan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha memartabatkan bahasa dan budaya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat.

Hadir sama Pengarah Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr Maklarin Lakim; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Fauzilahyatun Mustafa; serta Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Jennitah Noordin.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : MYSpaCE rancang tubuh unit ekonomi kreatif, fokus e-Sukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular